Pemandu lori pasir langgar 6 sekeluarga di Segamat ada 7 saman aktif


  • Primer
  • Selasa, 05 Sep 2023

Jenazah enam beranak yang maut dalam kemalangan tersebut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah dekat Parit Jawa pada Sabtu. — Bernama

PEMANDU lori pasir yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan hingga menyebabkan enam sekeluarga maut pada Sabtu lalu didapati memiliki tujuh saman aktif daripada 19 rekod saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, kenderaan berkenaan juga mempunyai satu rekod saman aktif Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, APAD pula telah mengambil tindakan susulan dengan mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pengendali berlesen yang terlibat bertarikh 4 September 2023.

"Berdasarkan laporan yang diterima didapati lori berkenaan dipercayai telah gagal membrek dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang dan kanan kenderaan malang berkenaan.

"Lanjutan daripada itu, APAD boleh mengambil tindakan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah seksyen 62, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] dengan merujuk kepada kesalahan melanggar syarat berkanun lesen pengendali di bawah seksyen 58(1) Akta 715," katanya.

APAD turut memberitahu, di bawah seksyen berkenaan, pengendali berlesen dan pemandunya bertanggungjawab dalam memberikan keutamaan yang paling tinggi kepada keselamatan penumpang dan pengguna jalan yang lain.

Jenazah enam beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Segamat-Kuantan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah dekat Parit Jawa semalam. — Bernama

Tambahnya, di bawah akta yang sama juga, mana-mana pengendali yang didapati melanggar mana-mana syarat lesen boleh dikenakan tindakan dan sekiranya disabitkan kesalahan didenda tidak kurang daripada RM1,000 tidak lebih dari RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"APAD sedang bekerjasama dengan pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk mendapatkan laporan teknikal siasatan bagi mengenalpasti punca kemalangan.

"Hasil laporan tersebut dijangka diperolehi dalam masa terdekat," katanya.

Dalam masa sama, APAD memaklumkan, JPJ sedang dalam tindakan menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA) terhadap syarikat Sepadu Ikhlas Sdn Bhd.

"Seterusnya, JPJ akan melaksanakan audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) oleh JPJ untuk menentukan keperluan tindakan undang-undang yang boleh diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah–Kaedah di bawahnya," ujarnya.

Sementara itu, MOT turut menegaskan, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

"Siasatan awal yang melibatkan penglibatan pelbagai agensi di bawah MOT sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian, seterusnya memastikan insiden seumpama ini dapat dielakkan daripada berulang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram