KEMALANGAN membabitkan lebih lima kenderaan di sekitar Presint 15, Putrajaya pada Rabu dipercayai bukan disebabkan tindakan pihak tertentu yang sengaja mencurah minyak di atas jalan raya.
Sebaliknya, kejadian tersebut difahamkan berlaku akibat tong minyak sebuah lori tertumpah tanpa sengaja di lokasi berkenaan.
Insiden itu dirakam oleh individu yang berada di lokasi kejadian sebelum dikongsikan di media sosial pada Rabu.
Seorang pengguna Facebook turut berkongsi tangkap layar aduan polis yang didakwa dibuat oleh pemandu lori tersebut.
"Pada Selasa sekitar pukul 3.35 petang, saya memandu lori jenis Nissan Diesel dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan menuju ke Kajang, Selangor.
"Semasa melalui persiaran utara/persiaran timur, saya tidak sedar ada satu objek dipercayai tong minyak telah terjatuh daripada lori saya.
"Akibat dari itu, tanpa pengetahuan saya telah berlaku kemalangan melibatkan kenderaan Perodua Myvi, Proton Savvy, Perodua Axia, Naza Citra, Mercedes dan lain-lain kenderaan yang belum dikenalpasti.
"Saya datang ke balai polis untuk buat laporan untuk rujukan pihak berkenaan," katanya.
Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, lokasi balai polis dan info lanjut berkaitan nahas tersebut masih belum dapat dipastikan.
Tangkap layar aduan polis yang didakwa dibuat oleh pemandu lori terbabit.
Menjengah ke ruangan komen, pengguna media sosial rata-rata menuduh kemalangan terbabit berpunca daripada tindakan segelintir penunda kenderaan yang sengaja menumpahkan minyak di laluan tersebut demi mengaut keuntungan.
Bagaimanapun, seorang pengguna Facebook menjelaskan, tidak semua kemalangan terutamanya yang melibatkan pertumpahan minyak berlaku berpunca daripada pemandu trak tunda.
"Asalkan kemalangan, kereta terbabas saja kerja towing dengan callman. Macam lah towing dengan callman tidak ada yang kemalangan.
"Zaman dah maju, bukan macam dulu-dulu main tuang minyak," katanya menerusi hantaran di Facebook. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram