Guru lelaki maut langgar tiang pulang dari hospital di Pintasan Rawang


  • Massa
  • Selasa, 12 Sep 2023

Keadaan bahagian hadapan kereta yang dipandu mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan Rawang (menghala ke Serendah), Selasa. — PDRM

SEORANG guru lelaki Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruntung maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 7.5 Jalan Pintasan Rawang menghala ke Serendah di Hulu Selangor, Selasa.

Mangsa, 39 tahun dilaporkan hilang kawalan dan melanggar tiang lampu di kawasan terbabit ketika dalam perjalanan dari Hospital Selayang untuk mengambil darah.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Ertiga.

"Siasatan awal juga mendapati mangsa memandu seorang diri ketika mahu pulang ke rumahnya.

"Mangsa dipercayai melanggar tiang lampu di sebelah kiri jalan," katanya dalam kenyataan Selasa.

Susulan kejadian tersebut, Ahmad Faizal berkata, mangsa akan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi proses bedah siasat.

"Bagaimanapun, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan," tambahnya lagi.

Sementara itu, mangsa juga difahamkan menjalani dialisis sebelum terlibat dalam kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram