[VIDEO] 'Ini bukan kali pertama' pemandu cemas lori angkut tanah rempuh 13 kereta di simpang lampu isyarat Kuantan


  • 112
  • Isnin, 11 Sep 2023

Tangkap layar video kemalangan tersebut yang berlaku sekitar pukul 6.48 petang Ahad.

SEBUAH lori tanah yang hilang kawalan ketika menuruni bukit merempuh 13 kereta dalam kejadian yang berlaku dekat Bukit Beserah, Kuantan, Pahang pada Ahad.

Video kejadian yang berlaku di sebuah persimpangan lampu isyarat itu turut tular di sosial media.

Menerusi klip 20 saat yang diambil daripada kamera belakang sebuah kenderaan itu, deretan kereta dilihat sedang berhenti di kawasan tersebut untuk menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Bagaimanapun, sebuah lori dilihat secara tiba-tiba meluru laju dan tidak sempat berhenti sebelum merempuh beberapa buah kenderaan di lokasi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu dilaporkan berkata, kejadian berlaku di laluan berselekoh menuruni bukit dalam keadaan cuaca hujan, jalan basah dan licin.

"Akibat kejadian, lori terbabit telah melanggar deretan kereta yang sedang berhenti menunggu lampu isyarat di hadapan," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.48 petang itu, semua pemandu dan penumpang kenderaan terlibat yang berusia antara 29 hingga 62 tahun selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Dalam pada itu, rata-rata warganet turut melahirkan kekesalan terhadap kemalangan berkenaan yang disifatkan berlaku kerana kecuaian pemandu lori berkenaan.

Malah, terdapat netizen turut menyatakan bahawa adalah mustahil untuk pemandu lori berkenaan tidak mengetahui mengenai keadaan jalan di lokasi kemalangan.

"Ini bukan kali pertama, lori-lori bermasalah macam ni. Laju sokmo. Dia besar, dia besi belaka. Pemandu tak terasa pun. Cuma kereta sahaja macam tin bila berlaga dengan lori," tulis Hasnita Sabri.

"Kalau memang orang asal dari Kuantan, tak logik dek akal kalau tak tahu turun bukit tu ada lampu isyarat," kata Mohd Fadili.

"Dah agak dah mesti lori. Sebab brek tak makan. Dah banyak nyawa melayang sebab tu. Pihak berkuasa cuba ambil tindakkan yang tegas sikit," ujar Norliza Mohd Ali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram