[VIDEO] Silap tekan pedal, pemandu kereta nyaris maut jatuh parkir dari tingkat dua


  • Benua
  • Isnin, 11 Sep 2023

Tangkap layar video orang awam sedang menarik kereta yang hampir terjatuh dari parkir tingkat dua di Bintaro Trade Center, Indonesia.

BAGAI telur di hujung tanduk, seorang pemandu berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya nyaris terjatuh dari tingkat dua tetapi sempat diselamatkan oleh orang awam.

Kejadian itu berlaku di pusat beli-belah, Bintaro Trade Center, Tangerang Selatan pada Sabtu.

Video yang memaparkan detik-detik kejadian tersebut turut tular di media sosial selepas dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok, @chikachiomafred.

Menerusi video tersebut, beberapa orang awam yang berada di lokasi ketika kejadian dilihat berusaha membantu menarik kereta ke hadapan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Kejadian yang melibatkan kereta Suzuki Ertiga itu melanggar tembok parkir di bahagian belakang sebelum tersangkut dan nyaris terjatuh mengenai barisan motor yang berada di bawah.

Menurut Pengarah Latihan Safety Defensive Consultant Indonesia (SDCI), Sony Susmana, pemandu sepatutnya mengekalkan posisi kaki di bahagian pedal 'cover break' ketika menukarkan gear ke posisi 'R'.

"Setiap parkir kereta sebenarnya mempunyai risiko dan bukan hanya di pusat beli-belah sahaja," tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, beberapa motor di bawah parkir tersebut turut mengalami kerosakan akibat serpihan tembok yang pecah ekoran daripada impak rempuhan kenderaan terbabit.

Sementara itu, Pengarah Latihan The Real Driving Centre (RDC), Marcell Kurniawan menambah, kesilapan menekan pedal kereta adalah kesalahan yang sering dilakukan pemandu kereta jenis automatik.

"Ketika parkir dalam keadaan mengundur, pemandu boleh memanfaatkan teknologi yang sudah ada pada kereta.

"Contohnya sensor parkir dan kamera. Jangan hanya bergantung kepada cermin pandang belakang yang masih memiliki titik buta," saran Marcell. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram