SEBANYAK 11 keluarga terjejas terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir yang melanda Kampung Rawa-Rawa, Batu 4 Jalan Apas di Tawau, Sabah pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.27 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, kawasan kampung berkenaan sudah mengalami banjir dan beberapa buah rumah turut dinaiki air.
“Pasukan bomba terus menjalankan operasi dan seramai 12 orang penduduk terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat,” katanya dalam kenyataan di Tawau pada Rabu.
Menurutnya, pasukan bomba membuat pemantauan di kawasan kampung berkenaan dan sekitarnya sebagai langkah berjaga-jaga.
“Setakat ini, tiada laporan mengenai kecederaan terhadap mangsa dan operasi ditamatkan pada pukul 7.28 pagi sebaik paras air mula surut,” katanya.
Menerusi video yang sempat dirakam dan dimuat naik oleh pengguna Facebook, terdapat banyak pemandu yang tersangkut kerana tidak dapat melepasi jalan di kawasan tersebut.
Terdahulu, berdasarkan permerhatian, aliran trafik dari jalan utama Batu 3 hingga bulatan Batu 4 Jalan Apas perlahan ekoran air naik sehingga ke jalan raya.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut kelihatan membantu di sekitar kawasan berkenaan bagi kelancaran aliran trafik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram