SIASATAN awal mendapati berlaku kejadian resapan air bawah tanah yang menyebabkan runtuhan cerun tambak hingga berlaku rekahan di permukaan jalan di Kilometer (KM) 118.2 hingga KM117.8 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) arah barat di Temerloh, Pahang.
Pengendali lebuh raya itu, ANIH Berhad dalam kenyataan pada Isnin bagaimanapun memaklumkan pihaknya bersama perunding sedang menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian di tapak projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan di lokasi tersebut.
"Setakat ini, tiada pergerakan baharu yang direkodkan di kawasan kejadian namun, pihak syarikat dengan kerjasama kontraktor telah menempatkan penanda enapan bagi meneruskan pemantauan keadaan semasa.
"Kerja pembaikan akan dilaksanakan segera oleh kontraktor setelah penyiasatan tapak secara menyeluruh selesai dilakukan dan cadangan pembaikan yang bersesuaian
dikemukakan jurutera perunding," menurut kenyataan itu.
Pengguna dinasihatkan agar merancang perjalanan dan memandu dengan berhemah serta sentiasa mematuhi arahan petugas di lokasi kejadian.
ANIH Berhad sebelum ini mengesahkan kejadian mendapan yang dipercayai menyebabkan rekahan di laluan itu dan laluan kontra diaktifkan dari KM116.5 hingga KM119.4 bermula 4.15 petang Ahad.
Mendapan itu dipercayai berlaku pada pagi hari yang sama, namun tiada insiden tidak diingini berlaku akibat kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram