[VIDEO] Mati terperangkap dalam lif dinaiki air, pemuda antara 3 maut banjir besar di Sepanyol


  • Benua
  • Selasa, 05 Sep 2023

Beberapa jalan di wilayah Madrid ditutup kerana terdapat kira-kira enam jambatan runtuh akibat aliran banjir. — Reuters

SEKURANG-KURANGNYA tiga maut manakala tiga lagi individu hilang dalam kejadian banjir besar yang melanda bahagian tengah Sepanyol pada Isnin.

Bencana yang berlaku susulan daripada hujan lebat yang berlaku secara mengejut itu turut menyebabkan penutupan beberapa kemudahan pengangkutan utama di kawasan terlibat termasuk jalan raya, laluan kereta api tanah dan kereta api berkelajuan tinggi.

Dalam pada itu, pihak berkuasa memaklumkan helikopter turut dihantar untuk menyelamatkan mangsa yang menyelamatkan diri dengan berlindung di rumah masing-masing di bahagian Toledo yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari Barat Daya Madrid.

Hujan lebat yang turun secara tiba-tiba bermula pada Ahad dan awal Isnin menyebabkan jalan raya di kawasan terjejas bertukar menjadi sungai lumpur yang menghanyutkan kereta dan tong sampah di beberapa wilayah iaitu Madrid, Castile-La Mancha, Catalonia dan Valencia.

Hujan batu juga dilaporkan turun di banyak kawasan.

Dalam pada itu, pihak berkuasa berkata, tiga yang dilaporkan maut dalam kejadian bencana itu melibatkan mangsa di kawasan pinggir bandar sekitar Toledo, di mana perkhidmatan cuaca, AEMET mencatatkan jumlah hujan 90 liter bagi setiap meter persegi pada Ahad.

Menurut polis, salah seorang daripada mangsa maut merupakan pemuda lelaki yang terperangkap di dalam lif dipenuhi air, manakala seorang lagi mangsa pula berada di dalam kenderaannya yang turut dinaiki air.

b141a188dc8cf73a7a8f484c1f1696c272a19d08-16x9-x0y0w1280h720

Antara kereta yang dihanyutkan oleh aliran banjir besar yang melanda Sepanyol pada Isnin. — Agensi

Individu ketiga yang maut ialah seorang lelaki berusia 50 tahun yang dilaporkan hilang dengan mayatnya ditemui pada sebelah petang terapung di sungai berhampiran rumahnya di bandar Camarena.

Di wilayah Madrid, perkhidmatan kecemasan berdepan dengan hampir 1,200 insiden menyelamat sejak Ahad manakala anggota bomba dan polis sedang mencari seorang lelaki di kawasan luar bandar Aldea del Fresno yang terletak di Barat Daya Madrid.

Lelaki yang sedang bersama anaknya itu dilaporkan hilang apabila kereta dipandunya hanyut ke dalam Sungai Alberche akibat aliran banjir yang berlaku secara tiba-tiba.

"Anaknya yang masih di bawah umur itu diselamatkan selepas dia berjaya memanjat sebuah pokok," kata perkhidmatan kecemasan Madrid.

Pasukan penyelamat juga sedang mencari seorang wanita yang hilang dalam insiden serupa sama berhampiran Toledo manakala seorang lagi lelaki berusia 84 tahun dilaporkan dihanyut aliran air dan lumpur di Villamanta, Barat Madrid.

Beberapa jalan di wilayah Madrid ditutup kerana terdapat kira-kira enam jambatan runtuh akibat aliran banjir.

Beberapa laluan kereta api bawah tanah juga ditutup di bandar Madrid pada awal Isnin, walaupun perkhidmatan itu diaktifkan semula di kebanyakan laluan di bandar pada waktu pagi.

Beberapa stesen sambungan kereta api berkelajuan tinggi antara Madrid dan wilayah selatan Andalusia juga disambung semula namun kekerapan operasinya dikurangkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram