Kejadian tanah mendap di LPT1 berpunca daripada runtuhan cerun tambak


  • Primer
  • Ahad, 10 Sep 2023

LLM dan pihak yang terlibat sudah diarahkan untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan dan pembaikan kawasan mendap dengan segera.

KEJADIAN mendapan tanah yang mengakibatkan rekahan jalan di Kilometer (KM) 118.2 hingga KM117.8 arah barat Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), dipercayai berpunca daripada runtuhan cerun tambak di kawasan kerja-kerja tebatan banjir.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak yang terlibat untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan dan pembaikan kawasan mendap dengan segera.

"Saya juga menghubungi Ketua Pengarah LLM (Sazali Harun) dan mahu satu laporan penuh dikemuka dengan segera, selain pemantauan di sekitar kawasan mendapan bagi mengenal pasti kemungkinan risiko mendapan lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau berkata, pelan kontigensi atau mitigasi yang dilaksanakan di laluan mendap, sentiasa dipantau bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

WhatsApp Image 2023-09-10 at 9.45.12 PM

Keadaan mendapan tanah yang berlaku di KM118.2 hingga KM117.8 arah barat di Temerloh, Pahang menghala ke Kuala Lumpur. — Facebook

Nanta turut menasihati pengguna lebuh raya itu agar mengelak atau menangguhkan daripada menggunakan laluan tersebut buat sementara waktu, bagi mencegah kejadian tidak diingini berlaku.

Terdahulu, pemegang konsesi LPT1 ANIH Berhad mengesahkan kejadian tanah mendap di KM118.2 hingga KM117.8 arah barat di Temerloh, Pahang menghala ke Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram