[VIDEO] Ayah baik pujuk anak saat ditangkap polis sekali lagi runtun jiwa warganet


  • Benua
  • Ahad, 10 Sep 2023

Tangkap layar seorang ayah cuba memujuk anak perempuannya untuk tidak menangis sebelum ditahan sekumpulan anggota polis di Indonesia. — Agensi

BARU-BARU ini, tular satu video sedih memaparkan seorang ayah cuba memujuk anak perempuannya di saat ditangkap oleh anggota polis.

Kejadian itu berlaku di Pangkalpinang, Indonesia.

Memetik laporan media antarabangsa, detik.com, video tersebut merupakan video lama yang ditularkan semula di media sosial sejak Jumaat.

Difahamkan, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Alhadi atau Hadi ditangkap selepas dia terlibat dalam satu pergaduhan dan menetak jirannya menggunakan parang.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pangkalpinang, Evry Susanto berkata, video yang tular di media sosial itu sebenarnya berlaku pada 2021.

"Suspek (Hadi) ditahan pasukan Naga Polis Pangkalpinang pada 10 Julai 2021 selepas menetak mangsa, Cahya Ferdian. Mangsa cedera di kepala, bahu dan tangan selepas ditetak dengan parang.

"Kejadian bermula apabila mangsa datang ke rumah suspek dan memberi amaran supaya tidak membuat sebarang bunyi bising.

"Ketika kejadian, suspek sedang mengajar anaknya. Kerana dianggap bising, mangsa pergi ke rumah suspek dan menegur mereka sehingga menyebabkan Hadi marah dan berlaku pergaduhan," katanya ketika dihubungi.

Walaupun ia merupakan video lama, namun ia tetap menarik perhatian warga maya kerana mereka terharu melihat tindakan Hadi yang cuba memujuk anak perempuannya itu.

Melalui video tersebut, kelihatan anak perempuan Hadi menangis dan kedua-duanya dilihat saling berpelukan.

Malah, saat ditangkap, Hadi terpaksa menipu anaknya itu bahawa dia akan pergi bekerja untuk tempoh yang agak lama.

Menurut seorang warga maya, walaupun Hadi melakukan kesalahan besar sehingga mencederakan jirannya namun dia berjaya menjadi seorang ayah yang baik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram