SEORANG wanita ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat dipatuk ular ketika mencari siput di Sungai Ulu Machan, berhampiran Rumah Panjang Rundang, Kanowit, Sarawak pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong berkata, berdasarkan laporan yang diterima kira-kira pukul 1.30 petang Isnin, mangsa pergi ke Sungai Ulu Machan kira-kira pukul 4 petang Sabtu secara sendirian untuk mencari siput.
Katanya, mangsa yang berusia 48 tahun tidak pulang ke rumah sehingga keesokan hari (Ahad), sebelum keluarga mangsa bersama-sama penduduk kampung mencarinya.
“Kira-kira pukul 8.15 malam Isnin, mayat mangsa dijumpai penduduk kampung di tepi sungai dengan kesan patukan ular di pergelangan tangan kanan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya lagi, tiada kesan-kesan lain yang mencurigakan pada mangsa.
“Selain itu, memandangkan faktor tempat kejadian jauh dari Balai Polis Kanowit dengan perlu mengunakan perahu panjang dan air sungai yang cetek, maka pihak waris mangsa tidak dapat untuk membuat laporan polis.
"Laporan polis berhubung kejadian hanya dibuat pada pukul 6.20 petang Isnin oleh bapa mangsa," katanya.
Menurutnya, tiga anggota polis dari Balai Polis Kanowit bergegas ke lokasi yang mengambil masa lebih dua jam menggunakan jalan darat dan sungai bagi menjalankan siasatan.
Mayat mangsa tidak dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut atas faktor tertentu.
Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa menemui wanita berkenaan di dalam sebuah sungai.
Video menyayat hati tersebut turut menjadi perhatian warga maya kerana ramai yang meluahkan kesedihan melihat lelaki itu menangis ketika menemui mayat wanita berkenaan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram