[VIDEO] Hapus skim pencen DUN, Ahli Parlimen antara manifesto Muda menjelang PRN


  • Politik
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Muda akan memulakan langkah yang berani untuk mencadangkan pemansuhan skim pencen yang sedia ada di peringkat DUN dan Parlimen termasuk dirinya. — Bernama

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengambil langkah realistik dalam pemilihan manifestonya kali ini yang dikenali sebagai Kertas Hitam Muda II bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos.

Manifesto tersebut mengetengahkan empat perkara utama yang memberi penekanan kepada reformasi institusi pentadbiran di peringkat negeri selaras dengan agenda 'Politik Baru' dibawa parti itu iaitu Prorakyat, Telus dan Inklusif; suara lantang anak muda; pendigitalan ekonomi dan perkhidmatan kerajaan serta pemeliharaan alam sekitar.

Selain itu, antara perkara lain yang diketengahkan Muda dalam manifestonya ialah pemansuhan skim pencen dalam kalangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Muda akan memulakan langkah yang berani untuk mencadangkan pemansuhan skim pencen yang sedia ada di peringkat DUN dan Parlimen termasuk dirinya.

"Muda ingin menggantikan pencen tersebut dengan skim seperti yang majoriti rakyat Malaysia lalui tanpa mengira program caruman asalkan bukan melalui pencen.

"Muda berasakan tidak adil untuk rakyat apabila perlu bekerja puluhan tahun sebelum boleh dapat pencen tetapi bagi pimpinan politik yang hanya setahun dua bekerja terus dapat jaminan pencen seumur hidup," katanya.

Syed Saddiq berkata demikian ketika Pelancaran Manifesto Muda di bilik gerakan utama Muda pada Khamis.

Tambahnya lagi, tujuan Muda memansuhkan skim pencen tersebut supaya ahli politik akan lebih dekat dengan rakyat.

"Tidak akan ada tembok yang memisahkan mereka dengan rakyat tetapi lebih penting adalah untuk memastikan mereka yang menyertai politik bukan kerana kuasa, kedudukan, jawatan atau jaminan pencen.

"Tetapi mereka ini betul-betul berniat ikhlas ingin berkhidmat dan membela masa rakyat," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram