Kerjasama Muda-PSM tumpu elak pertembungan kerusi — Arutchelvan


  • Politik
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Arutchelvan berkata, APSM menyambut baik cadangan kerjasama tersebut memandangakan pendirian Muda dilihat selari dengan parti itu terutamanya dari segi isu melawan rasuah dan perkauman.

PERBINCANGAN kerjasama antara Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ikatan Demokrasi Malaysia (Muda) berkemungkinan tertumpu kepada usaha mengelakkan pertembungan kerusi antara kedua-dua parti tersebut pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata, masa yang ada pada waktu ini adalah terlalu singkat bagi membentuk satu bentuk kerjasama lebih kukuh.

Bagaimanapun, menurutnya, PSM sangat terbuka dan menyambut baik cadangan kerjasama tersebut memandangkan pendirian Muda dilihat selari dengan parti itu terutamanya dari segi isu melawan rasuah dan perkauman.

"Untuk satu kerjasama lebih mantap, saya ingat itu perlu lebih masa.

"Tetapi setakat untuk membuat persefahaman pilihan raya, mungkin dari segi membantu satu sama lain atau tak bertembung, itu saya ingat program minimum yang boleh kita bincang setakat masa ini," katanya ketika dihubungi Majoriti.

75 families from Jinjang Selatan Tambahan, KL to submit memorandum to Suhakam on the decision to demolish their homes over the next few day .- Art Chen / The Star. 12 May 2017. Reporter: VIJENTHI

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan.

Dalam pada itu, Arutchelvan berkata, perjumpaan antara kedua-dua parti itu berkemungkinan diadakan dalam masa terdekat iaitu sebelum pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijangka dibuat pada minggu hadapan.

Katanya, PSM juga masih belum memiliki sebarang syarat spesifik dalam penetapan kerjasama pilihan raya tersebut.

"Sebab kerusi yang PSM akan ditandingi adalah terhad, kita tidak bertanding di banyak kerusi. Kita hanya bertanding di kawasan yang kita ada buat kerja," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PSM juga berharap kerjasama tersebut dapat membawakan naratif mewujudkan kuasa ketiga atau 'third force' sebagai pilihan kepada rakyat Malaysia ketika PRN kali ini.

"Jadi saya ingat kita mahu membawa naratif third force ini bagi memberikan idea bahawa rakyat ada pilihan. Sekarang pun rakyat perlu pilih the lesser of two evils.

"(Waktu ini) naratif perkauman saya ingat isu paling utama Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) yang kedua-duanya gunakan untuk saling menyerang antara satu sama lain.

"Jadi kita tengok macam mana nak menyakinkan rakyat untuk buat pilihan ketiga," katanya.

Concorde Club Event - Discussion with Muar MP Syed Saddiq at Menara Star. -AZMAN GHANI/The Star

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada masa sama, Arutchelvan memaklumkan partinya tidak akan bertanding di kesemua enam negeri terbabit.

"Yang kita bertanding ialah di Selangor. Kemungkinan juga kita bertanding di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang," jelasnya yang turut menyatakan bahawa jumlah sebenar kerusi bakal ditandingi PSM hanya akan didedahkan selepas SPR membuat pengumuman.

Pada 28 Jun lalu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, partinya bersedia untuk menjalinkan kerjasama bersama PSM untuk menghadapi PRN.

Muda sebelum itu mengumumkan parti itu akan bergerak solo pada pilihan raya negeri kali ini selepas permohonan mereka untuk mengadakan kerjasama dengan PH tidak dilayan oleh gabungan tersebut.

Enam negeri yang akan menghadapi PRN ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram