B40, pekerja gig turut mohon jadi calon Muda


  • Politik
  • Rabu, 12 Jul 2023

Amir berkata, Muda fokus untuk menawarkan calon yang benar-benar berkualiti kepada pengundi pada PRN kali ini. — Gambar hiasan

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menerima sambutan menggalakan dalam langkahnya untuk membuka permohonan kepada orang ramai bagi menjadi calon parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan pada bulan depan.

Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi berkata, bilangan individu yang membuat permohonan itu juga melebihi daripada jumlah kerusi disasarkan ditandingi partinya, iaitu 20 peratus daripada 245 kerusi ditawarkan dalam pilihan raya di enam negeri terbabit.

Jelasnya, mereka yang memohon juga terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, kaum dan tahap pendidikan.

"Ada yang datang daripada mereka yang bekerja dalam bidang profesional. Ada yang bekerja dalam sektor ekonomi gig, ada yang latar belakang daripada B40, ada yang belajar di luar negara," katanya kepada Majoriti.

Amir berkata, meskipun membuka permohonan tersebut kepada orang awam, Jawatankuasa Pemilihan Calon (JPC) Muda akan memastikan setiap calon dipilih benar-benar berkualiti dan mampu memberikan khidmat terbaik kepada pengundi.

WhatsApp Image 2023-07-12 at 7.07.09 PM

Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi

Katanya, selain kepelbagaian latar belakang, aspek yang diambil kira dalam pemilihan tersebut antaranya termasuk tahap kemampuan jentera, kewangan dan juga rekod prestasi calon tersebut.

"Yang paling utama untuk tawarkan calon boleh berikan khidmat kepada masyarakat setempat, sebab sekarang ini kita berhadapan nak lantik Adun yang perlu lebih banyak bekerja dengan masyarakat setempat.

"Ini bermakna khidmat yang diberikan itu bukan di peringkat nasional, tapi negeri. Jadi kita fokus untuk pastikan kalau dia dipilih nanti, dia boleh berikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

"Contohnya seperti yang dijalankan di Puteri Wangsa dan Muar," ujarnya yang turut memaklumkan bahawa Muda menyasarkan untuk meletakkan 50 peratus calon wanita pada PRN kali ini.

Pada waktu ini, terdapat dua pimpinan Muda yang sedang berkhidmat sebagai wakil rakyat iaitu presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Parlimen Muar dan Amira Aisya Abd Aziz di DUN Puteri Wangsa.

Dalam pada itu, Amir berkata, Muda juga akan turut mempertimbangkan untuk meneruskan pelaksanaan langkah mengisytihar harta kepada setiap calonnya yang bertanding seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah itu bergantung kepada proses pemilihan calon yang dijangka akan memakan sedikit masa untuk diselesaikan.

"Kita ada membincangkan. Memang salah satu perkara yang memang kalau boleh ingin dilakukan. cuma bergantung kepada masa," ujarnya.

Amir berkata, pengumuman mengenai calon Muda yang akan bertanding pada PRN kali ini akan dilakukan secara berperingkat.

Pada 26 Jun lalu, Syed Saddiq mengumumkan bahawa Muda akan bertanding secara solo di kesemua enam negeri yang terlibat dalam PRN tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram