[VIDEO] Bagaikan drama, tindakan pantas wanita beri bantuan CPR selamatkan penunggang motor rebah terkena serangan jantung di Klang


  • Tular
  • Ahad, 10 Sep 2023

Tangkap layar seorang wanita memberikan bantuan terhadap seorang lelaki yang dipercayai mendapat serangan jantung di tepi jalan dekat Klang baru-baru ini.

TINDAKAN pantas seorang wanita membantu seorang penunggang motosikal yang dipercayai diserang sakit jantung mendapat pujian warga maya.

Manakan tidak, bantuan yang diberikan wanita berkenaan dikatakan memberi peluang kepada lelaki tersebut untuk terus bernyawa.

Maklumat awal yang dikongsikan mendapati kejadian itu berlaku berhampiran sebuah stesen minyak di Klang, Selangor baru-baru ini.

Melalui video yang dikongsikan laman Twitter (X) @MalaysianFoods pada Sabtu menunjukkan seorang wanita melakukan bantuan awal resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas seorang lelaki yang terbaring di tepi jalan sambil dibantu beberapa lelaki lain.

Difahamkan lelaki berkenaan mengalami serangan jantung ketika menunggang motosikalnya di lokasi kejadian dan ditemui oleh orang awam.

Melalui video berdurasi lebih seminit itu, kelihatan wanita tersebut dilihat menekan dada lelaki berkenaan menggunakan kedua-dua tangannya berulang kali sambil dibantu dua lagi orang awam.

Lelaki itu kemudian dibaringkan dan diberikan bantuan CPR secara berterusan sehingga dia akhirnya sedarkan diri.

Setakat berita ini ditulis, video berkenaan mendapat lebih 1.4 juta tontonan dan diulang kicau sebanyak 3,560.

Difahamkan, selepas kejadian itu, lelaki berkenaan dihantar ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Namun, tiada maklumat lanjut yang dikongsikan oleh pemilik Twitter berkenaan berhubung keadaan terkini lelaki itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram