SEORANG pelumba litar drag, Hattem Rashdi yang terlibat dalam kemalangan ketika sedang berlumba pada Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih 12 jam akibat kemalangan.
Pada pertandingan yang dilakukan pada Ahad di Pekan, Pahang itu, Hattem gagal mengawal motosikalnya sekali gus menyebabkan terjatuh di atas litar perlumbaan dan terpelanting ke atas jalan.
Hattem yang mewakili ESR Motor meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan pada Isnin.
Malah video kemalangan melibatkan Hattem berdurasi 13 saat itu turut tular di media sosial sejak Ahad.
Memetik laporan media tempatan, pemilik ESR Motor, Adib Affandi Mohamad memaklumkan Hattem disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang Isnin dan jenazahnya akan dibawa ke kampung halaman di Alor Janggus, Kedah untuk urusan pengebumian.
"Allahyarham adalah pelumba litar drag yang berbakat dan menjadi penunggang kepada ESR Motor sejak dua tahun lalu.
"Difahamkan, jentera yang ditunggangi Allahyarham berhadapan masalah teknikal sebelum terbabas," katanya.
Untuk rekod, kemalangan membabitkan pelumba drag bukannya kali pertama kerana pada Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu, Oktober tahun lalu menyaksikan seorang pesertanya maut ketika perlumbaan.
Selang dua bulan kemudian, seorang pengusaha bengkel kenderaan pula maut selepas dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan 'CCT Battle of Champion' di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram