[VIDEO] Bahana tukar tayar dekat 'fast lane', pemandu BMW melambung maut kena rempuh di Pasir Gudang


  • Tular
  • Sabtu, 09 Sep 2023

Foto dikongsikan pengguna jalan raya lain memaparkan mangsa sedang cuba menukar tayar keretanya di lorong kanan sebelum kejadian.

SEORANG lelaki dipercayai maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika menukar tayar kereta di lorong kanan jalan berhampiran aman Nusa Damai, Pasir Gudang, Johor pada Jumaat.

Menerusi video tular mengenai insiden terbabit, mangsa yang menggunakan kereta jenis BMW itu dilihat terbaring parah di lorong akibat impak rempuhan yang melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 7.30 pagi dengan terdapat pengguna jalan raya lain turut berkongsikan foto memaparkan mangsa berhenti di laluan berkenaan bagi menukar tayar sebelum kejadian.

Pada masa sama, beberapa individu lain yang melalui jalan berkenaan pada waktu pagi juga menyatakan melihat lelaki berkenaan yang sedang berhenti di laluan berkenaan.

Rata-rata daripadanya turut berpandangan bahawa tindakan mangsa yang menukar tayar di lorong berkenaan adalah berbahaya lebih-lebih lagi pada waktu pagi ketika masih agak gelap.

"Pukul 7.20 pagi tadi lalu. Masih tukar tayar kereta. Double signal bagi. Cuma tempat berhenti dan tukar tayar tak sesuai. Kereta semua laju-laju pagi tadi. Mungkin nak elakkan jem," tulis Ijan Legends.

"Masa lalu pagi tadi tuan kereta dah bagi double signal, bonet dinaikkan. Dia nak tukar tayar. Memang agak gelap masa itu, kalau laju memang boleh rempuh," tulis Hafizah Madek.

"Betul-betul bahaya tu. Patutnya pandu perlahan-lahan ke tepi jalan. Mana-mana yang terdekat. Lorong kanan memang untuk yang laju sahaja," ujar Nana Husin.

Dalam pada itu, terdapat warganet memaklumkan bahawa sebelum kejadian, ada pengguna jalan raya lain yang memberikan amaran kepada mangsa untuk mengalihkan kenderaan tersebut ke tempat lebih selamat.

"Suami ada lalu pagi tadi masa nak hantar anak pergi sekolah. Suami cakap ramai juga yang hon suruh letakkan kenderaan di kiri jalan," kata Nurhayatulezma A Rahman.

Belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram