[VIDEO] Sasar wanita bergerak solo, individu dakwa nyaris jadi mangsa rompakan mat motor


  • Tular
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Tangkap layar video memaparkan sekumpulan lelaki bermotosikal didakwa melakukan cubaan merompak seorang pemandu baru-baru ini.

SEORANG individu didakwa nyaris-nyaris menjadi mangsa rompakan sekumpulan lelaki bermotosikal baru-baru ini.

Kejadian itu dirakam menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dan dimuat naik di laman Facebook pada Jumaat, sebelum ia tular di media sosial.

Berdasarkan video berdurasi dua minit tujuh saat itu, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 10 pagi pada Isnin lalu.

Difahamkan, beberapa orang lelaki yang menaiki motosikal didakwa menggunakan modus operandi dengan menyasarkan wanita yang memandu secara bersendirian.

Mangsa turut menceritakan satu persatu kejadian yang berlaku kepadanya menerusi rakaman berkenaan.

"Berhati-hati semua terutamanya wanita dan (kereta) yang tidak mempunyai cermin tinted.

"Perhatikan motor pertama memberi isyarat ada sesuatu pada bahagian tayar hadapan kiri.

"Muncul motor kedua memberi isyarat ada sesuatu pada bahagian hadapan kiri. Motor kedua sekali lagi memberi isyarat ada sesuatu di bahagian hadapan.

"Saya (mangsa) memberhentikan kereta tanpa keluar daripada kenderaan untuk melihat di bahagian tayar kiri dan (saya lihat) tiada apa-apa," katanya menerusi video berkenaan.

Individu tersebut kemudiannya turut berkongsi rakaman daripada sudut bahagian belakang keretanya, sambil memaklumkan bahawa motor kedua tadi masih lagi cuba untuk mengikutinya.

"Motor kedua ikut sehingga saya berhenti di bahu jalan dan terus turun daripada motornya.

"Perhatikan tangan kanan dia menggenggam sesuatu. (Lelaki) berbaju hitam turun dan beritahu 'bang saya nampak ada haba keluar daripada tayar depan'.

"Saya terus beredar tanpa turun dari kereta. Saya perhatikan daripada belakang, nampak motor itu sedang 'usha' (tengok) kereta putih belakang saya.

"Apabila tengok semula dashcam, rupanya geng ini 'usha' kereta dari awal tadi," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram