[VIDEO] Tauke durian tepi jalan Bentong kena samun lelaki berpistol


  • 112
  • Khamis, 03 Ogos 2023

Tangkap layar kejadian memaparkan seorang lelaki bersenjatakan pistol disyaki cuba menyamun sebuah gerai menjual durian di persimpangan jalan Kilang Pascorp Paper, Benys, Bentong, Pahang pada Rabu.

SEORANG peniaga durian berdepan detik cemas apabila didatangi inidvidu bersenjatakan pistol di gerainya yang terletak di persimpangan jalan Kilang Pascorp Paper, Benys, Bentong, Pahang.

Kejadian dipercayai berlaku pada Rabu itu berjaya dirakam pengguna jalan raya yang berada di sekitar kawasan itu, sebelum memuat naiknya di media sosial.

Menerusi video tular berdurasi 26 saat itu, seorang lelaki yang disyaki menyamun peniaga tepi jalan itu kelihatan bergegas keluar daripada gerai tersebut sambil memegang pistol di tangannya.

Suspek kemudian dilihat menaiki kenderaan jenis Proton Wira, dengan nombor plat WFN623 disyaki palsu sebelum keretanya dipercayai menghala ke arah Kuantan.

Namun begitu, kerugian yang dialami mangsa masih belum diperoleh.

Menurut maklumat awal daripada orang awam, individu tersebut difahamkan telah berjaya diberkas oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memaklumkan, dalam kejadian pukul 3.20 petang itu, wanita warga asing berusia 38 tahun tersebut didapati berseorangan di gerai berkenaan.

"Wanita itu didatangi lelaki yang memandu Proton Wira. Suspek kemudian mengacukan senjata menyerupai pistol ke arah mangsa dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai.

"Selepas mangsa menyerahkan semua wang jualan durian, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki kenderaan yang sama," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas Zaiham, hasil siasatan awal mendapati mangsa bekerja dengan seorang lelaki warganegara tempatan sebagai pembantu di gerai tersebut.

"Namun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu rompak dengan menggunakan senjata," ujarnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram