[VIDEO] Rider angkat 2 tangan lepas kena ‘libas’ dengan lori angkara gagal menyelit di Semenyih


  • Tular
  • Khamis, 07 Sep 2023

Tangkap layar video kemalangan membabitkan penunggang motosikal berkenaan di Jalan Beranang, Semenyih pada Rabu.

SEORANG penunggang motosikal berdepan detik mengerikan apabila terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori treler di Jalan Beranang, Semenyih, Selangor pada Rabu.

Dalam kejadian tersebut, motosikal dinaiki lelaki berkenaan dilihat cuba menyelit dan berada betul-betul di bahagian belakang tayar sebelah lori berkenaan sebelum bergesel dengan satu kenderaan lain yang berada di laluan bertentangan.

Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa didapati tercampak terjatuh manakala motosikalnya dilihat turut terpelanting selepas bergesel pada kereta dan lori terbabit.

Dia bagaimanapun agak bernasib baik kerana terjatuh di arah laluan bertentangan.

Kereta yang berada di laluan tersebut juga sempat memberhentikan kenderaan daripada melanggar mangsa.

Kejadian berkenaan dirakam menerusi kamera papan pemuka kenderaan di lokasi insiden yang difahamkan berlaku sekitar pukul 5.27 petang Rabu.

Dalam klip terbabit, lelaki itu yang dilihat boleh kembali berdiri turut mengangkat kedua-dua tangannya dipercayai untuk memberitahu orang ramai bahawa dirinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dia juga didapati berjalan ke arah motosikalnya dengan kenderaan di kedua-dua arah laluan juga memberhentikan kenderaan masing-masing.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram