[VIDEO] Kereta lawan arus tiba-tiba bertembung di jejambat AKLEH, katanya sebab keliru susur keluar


  • Tular
  • Rabu, 06 Sep 2023

Tangkap layar insiden dua kenderaan bertembung di jejambat AKLEH di ibu negara pada Isnin.

KEKELIRUAN ketika memasuki susur keluar di lebuh raya dipercayai menjadi punca sebuah kereta memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan bersama satu kenderaan lain pada Isnin lalu.

Insiden yang berlaku di jejambat berdekatan susur keluar ke Jalan Tun Razak Utara di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Kuala Lumpur itu dirakam menerusi video tular daripada kamera papan pemuka sebuah kenderaan di lokasi kejadian.

Berdasarkan klip berdurasi 11 saat itu, sebuah kenderaan yang sedang dipandu di lorong kanan sebuah selekoh dikejutkan dengan kehadiran satu kereta lain yang dipandu melawan arus dan menyebabkan kedua-dua bertembung secara berhadapan.

"Mudah-mudahan rakaman ini dapat bantu permudahkan urusan dua-dua pemandu. Jalan ini memang agak mengelirukan. Kalau orang pertama kali lalu, lepas tu guna aplikasi penunjuk arah pula.

"Betul-betul terkejut. Kereta sebelah sahaja. It could have been me (itu boleh jadi saya)," tulis Hanan MSaid yang difahamkan pemilik video merakam kemalangan berkenaan dan turut berada di lokasi.

Screenshot 2023-09-06 132936

Simpang susur yang dikatakan agak mengelirukan pengguna jalan raya di susur keluar dekat Jalan Tun Razak Utara di AKLEH, Kuala Lumpur. — Facebook

Pada masa sama, terdapat juga warganet yang berkongsikan pengalaman pernah melihat sebuah kenderaan yang turut terkeliru dan hampir memasuki laluan bertentangan di jejambat terbabit.

"Mesti dia naik dari jalan bawah dekat Tun Razak itu. Haritu sempat la halang sebuah kereta dari nak naik atas tu. Kalau tak halang halang, mesti jadi macam ni," kata Muhammad Aqmal Haqim.

Bagaimanapun, di ruangan komen, terdapat netizen menganggap bahawa insiden tersebut berlaku kerana kecuaian pemandu terbabit yang tidak peka dengan papan tanda jalan.

Jelasnya, ini kerana terdapat tanda dilarang masuk diletakkan di susur sebelum menaiki jejambat berkenaan.

"Pelik aku,macam mana dia boleh masuk situ," tulis Syafiq Khamis yang turut berkongsikan paparan imej daripada aplikasi Google Earth di susur keluar yang dimaksudkan.

"Pertama kali lalu pun takkan naik dekat situ. Punya terang garisan jalan dengan anak panah tu," tulis Ari Salim pula.

Belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram