Ikan baung ekor merah ancam ekosistem jika dilepas ke sungai


  • Massa
  • Khamis, 07 Sep 2023

Ikan baung ekor merah boleh mengancam keselamatan ekosistem jika dilepaskan dalam sungai.

PEMANCING disaran membantu mengeluarkan ikan baung ekor merah dari perairan sungai bagi menyelamatkan ikan-ikan asli tempatan, kata Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi Dr Siti Norita Mohamad.

Beliau berkata usaha itu penting kerana makanan ikan baung ekor merah ialah 50 peratus daripada ikan asli tempatan serta udang galah.

"Apabila perut ikan ini dibelah, terdapat ikan tempatan di dalam perut ikan ini.

"Memang kami galakkan pemancing untuk memancing dan keluarkan ikan ini dan jangan lepaskan ke dalam sungai," katanya pada Hari Terbuka IPP Glami Lemi dan Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui di Jelebu, Negeri Sembilan pada Khamis.

Siti Norita berkata sungai di Perak dan Selangor antara yang serius menghadapi masalah dengan kehadiran ikan baung ekor merah ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan Doreen Wee Siew Leen berkata pihaknya dan IPP Glami Lemi turut mengadakan program bagi memburu spesies ikan berkenaan di Sungai Triang.

"Di Sungai Triang memang tidak serius seperti di Selangor tetapi kami ada jumpa dua ekor ikan ini menggunakan tajur dan menjala.

"Walaupun saiznya kecil dan seberat tiga kilogram, apabila buat pembedahan ada telur, itu yang kami bimbang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram