Masih ada tak 'move on' keputusan PRN, bekas calon 'ajar' pimpinan kerajaan-pembangkang fokus bekerja


  • Politik
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Thiban (depan, kanan) ketika hadir dalam program bersama nelayan di bawah DUN Bukit Melawati pada Rabu. — Twitter/ThibanSubramaniam

PILIHAN Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada 12 Ogos lalu sudah pun berlalu lebih dua minggu.

Di kesemua enam negeri terbabit, rakyat sudah pun memilih wakil rakyat masing-masing di kesemua 245 kerusi yang dipertandingkan.

Daripada segi keputusan pula, pencapaian oleh kedua-dua gabungan utama parti politik negara boleh dikatakan agak seimbang.

Di sebalik kejayaan blok pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) untuk menembusi kubu kuat gabungan parti kerajaan khususnya Selangor yang kini terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), namun pentadbiran di kesemua enam negeri terbabit masih lagi mengekalkan status-quo.

Perikatan Nasional supporters at Nomination centre for Parliament P. 102 Bangi. — SHAARI CHEMAT/The Star

Pada PRN lalu, PN berjaya mengekalkan tiga negeri disandangnya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. — Gambar hiasan

Bagi PH-BN, mereka terus menerajui kerajaan di tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang manakala PN pula di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Namun begitu, meskipun keputusan sudah dicapai dalam PRN tersebut, suhu kehangatan politik negara dilihat masih belum reda khususnya dalam kalangan ahli politik.

Ini kerana kedua-dua pihak didapati masih terus mengeluarkan kenyataan yang saling menyerang antara satu sama lain termasuk dalam isu yang memainkan sentimen agama dan perkauman.

Apatah lagi, mood kedua-dua pihak bakal beralih kepada kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai.

Sebagai contoh, di pihak kerajaan, antara perkara sentiasa diulang-ulang bagi menyerang pembangkang adalah dengan memberikan label dan imej yang keterlaluan seperti ekstremis agama dan kaum.

Manakala sebaliknya di pihak pembangkang pula, selain memainkan isu agama dan kaum, kenyataan lain sering kali dikeluarkan dilihat turut menyentuh mengenai kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan.

Kesemua isu ketika tempoh dimainkan pasca pilihan raya di enam negeri itu seakan-akan memberikan gambaran bahawa kedua-dua pihak masih tidak lagi dapat menerima sepenuhnya keputusan dibuat oleh rakyat.

Malah, fokus berlebihan dengan memainkan sentimen tidak sihat itu dilihat menenggelamkan tumpuan utama yang sepatutnya diberikan khususnya dalam menangani masalah dihadapi rakyat.

In this photo provided by Prime Minister's Office, Malaysia's Prime Minister Anwar Ibrahim, right, gestures as he greeted by the staff of the prime minister's office during the first monthly gathering in Putrajaya, Malaysia, Tuesday, Nov. 29, 2022. (Prime Minister's office via AP)

Pembangkang dilihat masih terus memainkan sentimen mengenai kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan yang ketika ini diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. — AP

Ini kerana, kebanyakan rakyat ketika ini masih berhadapan dengan tekanan ekoran situasi ekonomi yang tidak menentu.

Bagaimanapun, di sebalik hiruk-pikuk serangan antara kedua-dua pihak terbabit, masih terdapat ahli yang memilih untuk keluar daripada naratif semasa politik negara kini.

Ini kerana meskipun mengalami kekalahan pada PRN Selangor lalu, ia dilihat tidak menjadi punca buat Thiban Subramaniam bagi melupakan punca utamanya menyertai politik.

Menerusi satu ciapan di Twitternya, pada Khamis, Thiban yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati berkongsikan kegiatannya yang turun padang bagi menyertai program membabitkan nelayan di kawasan tersebut.

"Menang kalah itu adat pilihan raya, yang penting kerja dan khidmat untuk rakyat perlu diteruskan. Saya telah berjanji saya tidak akan muncul 5 tahun sekali, kata-kata itu perlu ada pelaksanaan. Kita jalan terus.

"Semalam (Rabu) saya telah berkunjung sekali lagi ke Jeti Nelayan Sungai Buloh, Kuala Selangor pasca pilihan raya.

"Semasa kempen tempoh hari saya telah banyak membicarakan tentang masalah nelayan sekitar Bukit Melawati, kini masa untuk berkerja dan cari solusi," tulisnya.

Thiban berkata, dalam program tersebut, antara isu diangkat dalam program turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad adalah berkenaan kuota lesen nelayan.

Dua lagi perkara ditimbulkan adalah mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Pemutihan Lesen dan Subsidi bersasar Nelayan serta keadaan uzur jeti Tanjung Keramat, Assam Jawa dan Sungai Buloh.

"Pengerusi LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia), Muhammad Faiz Fadzil dan Pengarah LKIM Negeri Selangor, Siti Hawa Delaila Tukiran telah bersetuju untuk meniliti isu ini dan sama-sama bantu selesaikan," ujarnya.

Dalam pada itu, di ruangan komen, rata-rata warganet memuji sikap dipamerkan Thiban.

"Macam ni yang kita mahukan bro. Teruskan usaha begini. Ada event kampung join sekali, dekatkan diri dengan rakyat keutamaan menjadi pemimpin," tulis najmudeen161.

"Saya bukan pengundi di kawasan anda, tetapi apa yang anda lakukan adalah sangat baik. Teruskan maju ke hadapan," kata vijay1197.

"Teruskan. Macam ni la baru bagus, bukan lima tahun sekali datang. Kerja keras untuk dapatkan keputusan terbaik," ujar jegan_jek.

Pada PRN lalu, Thiban yang memperolehi 13,795 undi tewas di tangan pesaingnya daripada PN, Azley Yahya yang mendapat 14,672 undi, dengan perbezaa majoriti 877 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram