TIDAK sampai 24 jam kejadian seorang remaja berusia 16 tahun secara tidak sengaja mengundurkan kereta sebelum merempuh sebuah premis medan selera, satu lagi insiden melibatkan pemandu tanpa lesen yang sah dilaporkan pada Ahad.
Kejadian pada pukul 10.40 pagi itu berlaku apabila seorang pemandu berusia 25 tahun yang memandu tanpa lesen secara tidak sengaja memecut kenderaan utiliti sukan (SUV) lalu melanggar dan mencederakan seorang penunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku di Taman Melaka Raya, Melaka apabila pemandu SUV dari Jalan Imbi, Kuala Lumpur mendakwa cuba mengelak penunggang motosikal berusia 29 tahun itu ketika memandu keluar dari sebuah lorong menuju ke jalan utama.
Katanya, penunggang motosikal itu menunggang di jalan utama dan motornya dirempuh pemandu SUV terbabit sebelum kenderaan berkenaan berhenti di pintu masuk sebuah premis perniagaan di sepanjang jalan tersebut.
Christopher berkata, penunggang motosikal yang datang dari Kampung Paya Ikan, Bukit Baru, Melaka itu bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan di badannya.
“Pemandu itu didakwa menekan pedal minyak kenderaannya ketika cuba mengelak penunggang motosikal tersebut sebelum merempuhnya dan (kenderaan itu juga) hampir merempuh sebuah kedai,” katanya. — The Star/ RSN MURALI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram