[VIDEO] 'Saya ingatkan ke Eropah', 4 migran tumpang kemudi kapal rentasi lautan Atlantik


  • Benua
  • Sabtu, 05 Ogos 2023

Tangkap layar keadaan empat migran yang ditemui berhimpit di ruang kecil di atas sebuah kapal kargo selama14 hari. — Agensi

EMPAT lelaki warganegara Nigeria ditemui berhimpit di ruang kecil di atas sebuah kapal kargo selepas menempuh perjalanan yang mengerikan selama 14 hari.

Keempat-empat individu tersebut dikatakan berhasrat untuk ke Eropah, namun terkejut apabila mendapati mereka berada di seberang Atlantik di Brazil selepas menempuh perjalanan kira-kira 3,500 batu.

“Ia adalah satu pengalaman yang mengerikan bagi saya.

“Tidak mudah berada di atas kapal. Saya sangat gementar dan takut, tetapi saya di sini,” kata Thankgod Opemipo Matthew Yeye, 38, ketika dibantu di tempat perlindungan gereja di Sao Paulo, Brazil.

Menurut laporan The Times of London, meskipun kehabisan makanan pada hari ke-10, mereka dipercayai terselamat dengan meminum air laut dan air kencing mereka sendiri.

Menurut seorang lagi migran, Roman Ebimene Friday, 35, mereka juga telah mengikat diri ke jaring untuk menahan daripada terjatuh ke dalam perairan yang dalam itu.

Apatah lagi katanya, mereka dapat melihat sendiri keadaan dalam laut itu yang dipenuhi dengan ikan besar dan berbahaya seperti jerung, berada hanya beberapa kaki di bawah mereka.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 18.16.18

Keadaan empat lelaki warganegara Nigeria ketika diselamatkan pihak berkuasa Brazil.

Dalam pada itu, polis Brazil akhirnya dilaporkan berjaya menyelamatkan kumpulan itu di pelabuhan tenggara Vitoria.

Dua orang telah dikembalikan ke negara sendiri atas permintaan mereka, manakala Yeye dan Friday telah memohon suaka di Brazil.

“Saya berdoa kerajaan Brazil akan mengasihani saya,” kata Friday.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 18.16.54

Roman Ebimene Friday dilaporkan telah memohon suaka di Brazil.— Agensi

Sebelum ini, ekoran ketidakstabilan ekonomi, politik dan jenayah yang melanda negaranya, Friday difahamkan cuba melarikan diri dengan menaiki kapal, tetapi berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa Nigeria.

Perjalanan luar biasa itu bermula 27 Jun lalu, apabila seorang nelayan membawa Friday berhampiran kapal tersebut, namun dia terkejut apabila mendapati terdapat tiga lagi lelaki lain berada di situ.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 18.16.39

Thankgod Opemipo Matthew Yeye, 38, ketika dibantu di tempat perlindungan gereja di Sao Paulo, Brazil. — Agensi

Selepas memulakan perjalanan, empat lelaki itu akui takut kru kapal akan melemparkan mereka ke dalam laut sekiranya rahsia terbongkar.

"Kami ajar diri untuk tak buat bising sebab takut kena campak dalam air," katanya lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram