[VIDEO] Jururawat selisih maut, tayar lori terpelanting hentam kereta


  • 112
  • Selasa, 05 Sep 2023

Tangkap layar video yang tular memaparkan tayar sebuah lori tangki tercabut dan terpelanting ke arah kereta Honda City dipandu seorang jururawat.

SEORANG jururawat selisih maut selepas tayar sebuah lori tangki tercabut dan terpelanting ke arah kereta jenis Honda City dipandunya di Jalan Bahau-Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan pada Isnin.

Kejadian itu turut berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) milik orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Menerusi video berdurasi 37 saat, kelihatan tayar lori di bahagian belakang tercabut secara tiba-tiba sebelum terpelanting ke arah kereta dipandu mangsa dari arah bertentangan.

Impak daripada lantunan tayar itu menyebabkan kereta mangsa rosak teruk di bahagian depan.

Namun mangsa bernasib baik kerana berjaya mengawal kenderaannya daripada terbabas sebelum dia dilihat keluar dari keretanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook mengesahkan kejadian terbabit.

Beliau turut memaklumkan kedua-dua pemandu kenderaan terlibat telah pun membuat laporan polis.

"Kejadian itu tidak melibatkan kecederaan dan pemandu lori telah disaman di bawah Peraturan 94 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana komponen kenderaan tercabut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram