[VIDEO] Lelaki belasah penjawat awam sampai mati sebab syak ada hubungan sulit dengan bini direman 7 hari bantu siasatan


  • 112
  • Isnin, 04 Sep 2023

Punca pergaduhan itu tercetus kerana suspek mengesyaki mangsa yang juga penjawat awam mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

SEORANG lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang penjawat awam, selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Jalan Lama Pasir Putih-Machang berhadapan Hospital Machang, Kelantan pada Ahad.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 46 tahun itu dikeluarkan Majistret Amal Razim Alias di Mahkamah Majistret Tanah Merah bermula Isnin hingga 10 September.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada Ahad, seorang lelaki maut selepas terlibat dengan pergaduhan membabitkan seorang individu di sebuah kedai di Kampung Cabang Sungai Hala, Machang,

Difahamkan, punca pergaduhan itu tercetus kerana suspek mengesyaki mangsa yang juga penjawat awam mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, susulan kejadian itu suspek berusia 46 tahun ditahan untuk siasatan lanjut selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang.

"Motif kejadian adalah suspek mengesyaki mangsa yang juga simati ada hubungan sulit dengan isterinya.

"Suspek bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur manakala mangsa dan isteri suspek adalah penjawat awam yang bekerja di sebuah jabatan yang sama di Kuala Krai," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Tambah Muhamad Zaki lagi, dalam kejadian pukul 11 pagi di sebuah kedai makan di hadapan Hospital Machang, berlaku satu pergaduhan membabitkan dua lelaki berusia 46 dan 51 tahun.

"Akibat pergaduhan itu, mangsa mengalami kecederaan dan pendarahan serius di muka.

"Mangsa juga mengalami kecederaan parah di kedua mata dan patah tulang rusuk sebelah kiri. Manakala suspek hanya mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan.

"Pergaduhan berlaku tanpa membabitkan sebarang senjata. Mangsa berusia 51 tahun dibawa ke Hospital Machang oleh ambulans untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut terhadap suspek dan mangsa mendapati tiada sebarang rekod jenayah.

"Hasil ujian saringan awal terhadap suspek didapati negatif dari sebarang jenis dadah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram