Mata kering, Datuk K dibenarkan pakai 'spec hitam' ketika beri keterangan kes Zahid Hamidi


Khalid Mohamad Jiwa baru sahaja selesai menjalani pembedahan mata baru-baru ini.

PASUKAN pembelaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon mahkamah membenarkan saksi pembelaan kelapan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memakai cermin mata hitam ketika memberi keterangan di kandang saksi pada Isnin.

Permohonan oleh Peguam, Hamidi Mohd Noh itu dibuat ekoran Khalid yang lebih dikenali sebagai Datuk K baru sahaja selesai menjalani pembedahan mata baru-baru ini.

“Datuk Khalid mempunyai masalah mata dan memerlukannya untuk memakai cermin mata hitam,” katanya.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah bertanya sama ada beliau benar-benar perlu menggunakan cermin mata hitam itu.

Hakim: Adakah perlu (pakai cermin mata) buat masa ini?

Hamidi: Matanya kering apabila terkena cahaya. Untuk maklumat lanjut, sila tanya Datuk Khalid secara terus.

Khalid: Saya baru sahaja menjalani pembedahan mata, menyebabkan mata saya kering dan kadang-kadang berair apabila terkena cahaya terang.

Hakim Sequerah kemudian bertanya kadar peratusan gelap cermin mata hitam yang dipakai Khalid.

Khalid: Tidak begitu gelap, hanya kira-kira 30 peratus, saya boleh buka (cermin mata) ini jika perintah mahkamah, tapi saya tidak begitu selesa.

Memetik laporan media, Hakim Sequerah kemudian membenarkan permohonan itu atas faktor perubatan.

Untuk rekod, Ahmad Zahid didakwa terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram