TULAR satu video di media sosial dan aplikasi mesej memaparkan seorang individu cuba membuka kapsul Ubat Esoral dan didapati mengandungi paku sehingga mengundang kerisauan orang awam baru-baru ini.
Melalui video berdurasi 35 saat berkenaan, individu tersebut sedang membuka sebiji kapsul ubat bewarna kuning dan apabila dibuka kapsul itu mengandungi beberapa paku kecil.
Hasil semakan Majoriti, video tersebut merupakan video palsu dan dimuat naik di Youtube pada 21 Februari 2021 serta mula ditularkan kembali oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Memetik laporan dari Factcheck.kg, individu yang membuat video tersebut dengan sengaja meletakkan paku-paku berkenaan dan video tersebut juga pernah menjadi tular di Kazakhstan suatu ketika dahulu.
Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Republik Kazakhstan pernah mengeluarkan kenyataan mereka tidak pernah menerima laporan daripada orang awam yang menerima ubat kapsul berisi paku tersebut.
Difahamkan, ubat kapsul berkenaan dikeluarkan oleh perusahaan farmasi JSC Bosnalikdi Bosnia Herzegovina.
Dalam perkembangan lain, memetik laporan media tempatan, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pernah mengeluarkan kenyataan Ubat Esoral yang dijadikan bahan ‘eksperimen’ dalam video tular dalam media sosial disahkan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
"Semakan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (BPFKKM) mendapati produk Esoral tiada dalam database Quest3 Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),' katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram