[VIDEO] Entah siapa yang salah, warga emas keluar simpang kena pukul, tendang 'rider' tak berbaju di Kajang


  • Tular
  • Ahad, 03 Sep 2023

Tangkap layar seorang warga emas ditendang dan ditumbuk seorang penunggang motosikal selepas terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini.

"GILA, kurang siuman", hanya itulah kata-kata yang mampu diungkap pengguna aplikasi WhatsApp apabila melihat video seorang penunggang motosikal memukul dan menendang seorang warga emas selepas kedua-duanya terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini.

Difahamkan dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat tersebut berpunca daripada sikap cuai penunggang lelaki berkenaan yang menunggang dengan laju.

Kejadian itu juga berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Melalui video berdurasi 30 saat berkenaan, penunggang motosikal tidak berbaju itu dilihat menunggang motosikalnya dengan cara berbahaya dan memotong kenderaan lain dari sebelah kanan.

Mangsa yang juga menunggang sebuah motosikal pada ketika itu secara kebetulan keluar dari sebuah simpang sehingga menyebabkan kedua-duanya berlanggar di tengah-tengah jalan.

Lebih menyakitkan hati, penunggang motosikal yang tidak berpuas hati dengan insiden itu terus menendang dan memukul mangsa.

Malah, mangsa yang tidak melawan itu juga dilihat ditendang berkali-kali di kepala oleh lelaki berkenaan.

Sementara itu, polis mengesahkan kejadian terbabit dan memaklumkan kejadian itu berlaku di Jalan Utama Cheras Perdana, Kajang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan berhubung video papan pemuka kenderaan membabitkan penunggang motosikal itu, 12.09 tengah hari Ahad.

Menurutnya, kejadian disyaki berlaku pada 11.25 pagi Jumaat lalu, di mana sebuah motosikal keluar secara tiba-tiba dari simpang menyebabkan sebuah lagi motosikal yang melalui jalan utama yang ditunggang lelaki tanpa baju, gagal mengawal kenderaan lalu melanggar motosikal berkenaan.

"Penunggang motosikal tanpa berbaju terus bertindak memukul penunggang motosikal berkenaan dengan menggunakan tangan dan kaki.

"Kejadian berkenaan dirakam melalui papan pemuka sebuah kereta sebelum dimuatnaik dan tular di Telegram," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Zaid berkata, sehingga kini pihak polis masih belum menerima apa-apa laporan berhubung kemalangan atau kejadian pukul itu daripada pihak yang terbabit.

"Kes diteruskan dan disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu, boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mu'az Mazlan di talian 017-9788804," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram