JENAYAH kejam seringkali mencuri perhatian masyarakat tidak kira di dalam dan luar negara. Hal ini kerana setiap jenayah terutamanya yang melibatkan pembunuhan kejam terselit seribu kisahnya yang sendiri.
Namun bukan semua kes jenayah dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa, malah ada yang masih lagi menjadi misteri sehingga kini.
Kesannya, keluarga mangsa terpaksa hidup dalam penderitaan lebih-lebih lagi apabila mereka tak dapat tahu siapa pelakunya.
Beberapa kes jenayah orang awam di Malaysia masih lagi menemui jalan buntu sekali gus masih lagi belum dapat diselesaikan.
Berikut adalah empat misteri kes jenayah yang masih lagi belum dapat diselesaikan sehingga kini di Malaysia.
1. Audrey Melissa Bathinathan
Bedah siasat menunjukkan bahawa Audrey dirogol, dan kemudian dicekik sehingga mati pada awal 18 Mei, sebelum mayatnya dibuang.
Pada 17 Mei 1999, pelajar berusia 17 tahun, Audrey bertolak ke sekolah seperti biasa pada awal pagi bersama seorang rakan.
Ketika mereka menghampiri sekolahnya, Sekolah Perempuan Methodist di Kuala Lumpur, mereka berpisah dan Audrey berjalan sendirian melalui jalan bawah tanah berhampiran Bukit Aman.
Apabila dia gagal pulang ke rumah pada hari itu, ibunya mendapat tahu bahawa anak perempuan tunggalnya tidak menghadiri sesi persekolahan pada hari berkenaan.
Mayatnya ditemui pada keesokan harinya di sebelah pencawang Tenaga Nasional di Jalan Kinabalu berhampiran sekolahnya dengan masih berpakaian sekolah.
Bedah siasat menunjukkan bahawa Audrey dirogol, dan kemudian dicekik sehingga mati pada 18 Mei, sebelum mayatnya dibuang.
Dua penagih dadah di kawasan itu segera ditangkap oleh polis, tetapi kemudian dibebaskan apabila tiada bukti yang mencukupi untuk mengaitkan mereka dengan jenayah itu. Tiada tangkapan lanjut dibuat dan pelaku kepada kes tersebut masih bebas sehingga kini.
2. May Goh Lee Fang
May yang sudah tidak bernyawa ditemui dengan beberapa kesan tikaman di badan dan turut diserang secara seksual oleh suspek.
May Goh Lee Fang, 26 tahun memulakan harinya seperti biasa dengan membuka butik baharunya di pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 17 Februari 2005.
Premis pakaian kanak-kanak itu dimiliki secara bersama oleh May bersama dua lagi rakannya.
Apabila salah seorang rakan niaganya tiba beberapa jam kemudian, dia mendapati mayat May terbaring di atas lantai di bahagian belakang kedai dalam keadaan berlumuran darah.
May yang sudah tidak bernyawa ditemukan dengan beberapa kesan tikaman di badan dan turut diserang secara seksual oleh suspek.
Tiada barang berharga dicuri dari butik itu, kecuali telefon bimbit mangsa.
Polis kemudiannya menyoal siasat seorang ahli perniagaan untuk membantu siasatan, tetapi dia dibebaskan selepas saksi membersihkan namanya. Kes masih belum selesai.
3.Noritta Samsuddin
Mayat Norrita ditemui rakan serumah dengan anggota badannya diikat dengan wayar dan mulutnya tersumbat dengan sarung bantal dan tuala.
Eksekutif pemasaran Noritta, 22, juga merupakan model sambilan. Dia menyewa sebuah bilik di sebuah kondominium di Damansara, Selangor.
Pada awal pagi 5 Disember 2003, rakan serumahnya pulang dan mendapati Noritta mati di atas katilnya dengan keadaan berbogel serta mukanya ditutup dengan sarung bantal.
Lebih mengejutkan lagi, anggota badannya diikat dengan wayar dan mulutnya disumbat dengan tuala.
Menurut polis, tiada tanda-tanda pecah masuk dan tiada barang berharga hilang.
Rakan serumah Noritta memberitahu polis bahawa seorang lelaki tinggi dan gelap dengan bau badan kuat meluru keluar dari apartmen apabila mereka pulang, tetapi mereka tidak mengenalinya.
Pemeriksaan bedah siasat menunjukkan punca kematian Noritta adalah sesak nafas. Beberapa sampel DNA milik Noritta dan dua suspek lelaki ditemui di tempat kejadian, yang mendedahkan dia sama ada dirogol atau menjalinkan hubungan seksual sebelum kematiannya.
Polis menamakan teman lelaki Noritta, Hanif Basree Abdul Rahman, sebagai suspek utama kes itu.
Bagaimanapun, kerana bukti yang tidak mencukupi, dia dibebaskan pada tahun 2004.
4. Nurin Jazlin Jazimin
Keluarga Nurin gagal untuk membuat pengecaman mayat akibat kecederaan teruk yang dialami mangsa.
Pada 20 Ogos 2007, Nurin yang berusia lapan tahun keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, untuk membeli klip rambut. Apabila dia gagal pulang ke rumah, adik-beradik dan ibu bapanya panik mencarinya sebelum membuat laporan polis.
Saksi berkata, mereka melihat seorang gadis diseret ke dalam sebuah van putih tetapi walaupun polis cuba mencari mangsa di seluruh negara namun Nurin gagal ditemui.
Hampir sebulan kemudian, pada 17 September, mayat Nurin dalam keadaan kurus dan bogel ditemui dalam beg sukan di tangga sebuah lot kedai di Petaling Jaya.
Lebih kejam lagi, kanak-kanak malang itu dicabul secara seksual dan keluarga Nurin gagal untuk membuat pengecaman mayat akibat kecederaan teruk yang dialami mangsa.
Dia dikenal pasti melalui ujian DNA, dan bedah siasat menunjukkan Nurin dibunuh hanya 24 jam sebelum mayatnya ditemui.
Polis cuba mengenal pasti pelaku daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, yang mendedahkan seorang lelaki membawa beg sukan yang mengandungi mayat mangsa. Rakaman lain merakamkan seorang wanita dan tiga lelaki di lokasi mayat ditemui.
Walaupun kualiti klip rakaman CCTV tidak begitu memuaskan, polis dapat menerbitkan photofits dengan bantuan teknologi daripada pakar, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat. Malangnya pelaku yang dikaitkan dengan kes tersebut masih bebas hingga ke hari ini.
Hampir dua dekad kemudian, penculikan, rogol dan pembunuhan ngeri Nurin masih tidak dapat diselesaikan sementara keadilan terus tidak berpihak kepada keluarganya. — The Star