Saya dah semak dengan Tun M dan Muhyiddin, cerita Zahid tidak benar — Annuar Musa


  • Politik
  • Selasa, 18 Jul 2023

Annuar (kanan) membidas kenyataan Ahmad Zahid (kiri) yang mendakwa Anwar (tengah) cuba menyelamatkan Umno daripada diharamkan satu masa dahulu.

BEKAS Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menafikan kisah kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menghalang Perdana Menteri ke-8, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri ketika itu ,Tan Sri Muhyiddin Yassin, daripada mengharamkan Umno.

Beliau turut memaklumkan telah menyemak dengan kedua-dua bekas pemimpin tersebut dan mengesahkan bahawa naratif tersebut adalah tidak benar dan tiada sebarang keputusan dibuat untuk mengharamkan parti berkenaan.

Menurutnya, kisah tersebut cuba dijual kembali untuk menarik undi Umno kepada PH dan DAP menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos depan.

"Mengetahui cara kepimpinan Mahathir, jika benar dia hendak mengharamkan Umno, tidak mungkin ada orang yang dapat menghalangnya. Apa lagi Anwar yang Mahathir langsung tidak libatkan dalam urusan kerajaan.

"Jika benar Anwar yang menyelamatkan Umno dari diharamkan pada 2019, mengapa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri (PM) semasa Langkah Sheraton, sebaliknya menyokong Mahathir dan kemudiannya menyokong Muhyiddin jadi PM? Di mana logiknya cereka Anwar dan Zahid ini," kata Annuar.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Umno boleh diharamkan sekian lama kerana mendakwa parti berkenaan sering melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) terutama berhubung Borang 9 sepanjang 2012 hingga 2018.

Malah katanya, sudah terbukti Muhyiddin yang membawa Umno menjadi kerajaan dan tidak mengharamkan parti tersebut sebelum menyerahkan kerajaan pimpinannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjadi Perdana Menteri pada 2021.

"Jadi pada saya, cerita Anwar 'selamatkan Umno dari diharamkan' bukan saja telah dinafikan sendiri Mahathir dan Muhyiddin, malah ini hanyalah rekaan umpama 'Aji No Moto' (penambah perasa) menyedapkan cerita menjelang PRN Ogos ini.

"Sudah pasti cereka ini tidak mudah ditelan oleh ahli-ahli yang bijak yang merupakan jauhari yang lebih mengenal manikam. Sebenarnya ahli-ahli Umno tahu siapa yang sebenarnya sedang memperguna dan mematikan Umno," katanya.

Pada Isnin, Ahmad Zahid menyifatkan Annuar umpama 'kaduk naik junjung' apabila menafikan wujud cubaan mengharamkan parti itu pada 2018.

Beliau turut mendakwa, hanya Annuar sahaja yang tidak tahu mengenai cubaan mengharamkan Umno ketika itu, sedangkan semua pemimpin utama parti itu maklum mengenai usaha terbabit dirancang Mahathir. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram