SAMBUTAN hari kebangsaan disambut saban tahun pasti meriah dengan semangat patriotisme membara dipamerkan anak jati Malaysia tidak kira di mana jua berada.
Meskipun tidak berada di tanah air untuk bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan ke-66 bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, rakyat Malaysia yang menetap di luar negara masih menzahirkan rasa cinta menerusi pelbagai program.
Bagi Haliza Hashim Doyle, keputusan untuk menetap di United Kingdom (UK) bukanlah penghalang buatnya menyambut kemeriahan Hari Kebangsaan setiap tahun.
Koresponden hal ehwal semasa TV3 bagi UK dan Eropah itu berkata, beliau menyertai Karnival Malaysia Merdeka sebagai acara tahunan anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia London di Brickendonbury, Hertford pada 26 Ogos lalu.
Haliza yang juga Pengerusi Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) (MERCY UK) berkata, beliau sudahpun menyertai acara sama bersama suaminya, Jonathan Doyle selama 15 tahun sejak menetap di negara tersebut.
"Masa mula-mula dulu, kami datang dengan anak-anak ketika mereka masih kecil. Pelbagai aktiviti diadakan seperti gerai makanan, pameran produk dan perkhidmatan, demonstrasi silat, persembahan tarian, nyanyian dan sukan rakyat.
"Bukan rakyat Malaysia di UK sahaja, malah warga tempatan juga hadir meraikan. Sangat popular dan meriah.
"Malah, saya juga sempat membuat laporan mengenai karnival merdeka ini untuk berita TV3 yang disiarkan pada 28 Ogos lalu," katanya kepada Majoriti.
Haliza mengakui, semangat patriotisme yang ditunjukkan rakyat negara ini adalah antara momen paling dirindui ketika bulan kemerdekaan di Malaysia.
Menarik perhatiannya adalah semangat itu ditunjukkan menerusi kibaran Jalur Gemilang di seluruh negara termasuk di bangunan, kediaman, pejabat, restoran dan kereta.
Ini ditambah pula dengan sambutan Hari Kebangsaan yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur disifatkan sarat nostalgia.
"Semasa saya di sekolah, saya pernah mengambil bahagian untuk formasi Jalur Gemilang di Dataran Merdeka bersama ratusan pelajar lain.
Meskipun sudah bertahun-tahun bermastautin di UK dan memiliki anak yang sudah meningkat dewasa, Haliza masih tidak melupakan asal-usulnya.
"Pada acara sambutan kemerdekaan ke-50 tahun 2007, sekali lagi saya berada di Dataran Merdeka membuat liputan bersama krew TV3 bagi laporan khas Majalah 3 berkisarkan veteran perang Britain mengambil bahagian dalam perarakan Hari Kebangsaan," katanya.
Jelas Haliza, definisi kemerdekaan mempunyai makna mendalam bagi individu yang bermastautin di luar negara sepertinya.
Akuinya, bentuk dan semangat patriotisme warga Malaysia di luar negara mungkin berbeza, namun hari kemerdekaan masih mengingatkan mereka tentang rasa bangga dan cinta terhadap tanah air.
"Di sini, Hari Kebangsaan disambut dengan menganjurkan majlis kemerdekaan bersama rakan-rakan atau menyertai acara kemerdekaan rasmi.
"Kami hargai dan kongsi cerita mengenai kemerdekaan dengan warga tempatan. Selain itu, turut menceritakan tentang Malaysia dan kemerdekaan dengan anak-anak muda," ujarnya.
Haliza (tengah) berharap agar Malaysia terus maju dan berkembang dalam semua bidang selepas mengecapi kemerdekaan ke-66 tahun.
Ditanya mengenai keistimewaan Malaysia yang tiada di luar negara, Haliza mengakui bahawa negara ini mempunyai keunikan bangsa, agama, budaya, bahasa, perayaan dan pelbagai jenis makanan.
Beliau tidak menafikan bahawa UK juga memiliki perbezaan tersebut, namun kebersamaan Malaysia dalam merayakan kepelbagaian budaya dan sejarah disifatkan lebih istimewa.
Meskipun sudah bertahun-tahun bermastautin di UK dan memiliki anak yang sudah meningkat dewasa, Haliza masih tidak melupakan asal-usulnya.
Selagi dikurniakan kesihatan dan tenaga yang baik, katanya, beliau akan kerap pulang ke Kuala Lumpur bertemu keluarga, saudara-mara dan rakan-rakannya.
Namun, ketika ini beliau masih perlu menetap di UK untuk memenuhi keperluan suami dan anak-anak.
"Saya masih belum memutuskan untuk menghabiskan hari-hari tua (settle down) di negara mana," katanya.
Pada masa sama, Haliza berharap agar Malaysia terus maju dan berkembang dalam semua bidang selepas mengecapi kemerdekaan ke-66 tahun.
Beliau juga mahu melihat generasi muda tempatan bekerja keras, selain bercita-cita tinggi menjadi pelapis terbaik kepada pembangunan negara.
"Saya mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Malaysia. Semoga negara kita terus maju, membangun dan cemerlang.
"Saya akan terus berkhidmat untuk tanah air dan tingkatkan nama Malaysia di luar negara," titip beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram