KEGUSARAN hati muncul apabila memerhatikan fenomena bahasa dan bangsa dalam negara mutakhir ini.
Pelbagai isu tular sudah pun berlegar-legar di media sosial malah di media arus perdana.
Antaranya ialah tulisan jawi, isu ‘pendatang’, tidak menggunakan bahasa Melayu untuk urusan rasmi dan bendera terbalik.
Terus tepuk dahi.
“Saya tinggal di negara mana sekarang ini?”
Tulisan jawi? Aksara tersebut sekadar tulisan dan bukan bertujuan untuk menukarkan agama seseorang dan mengajar perkara-perkara lucah.
Malah, tulisan ini sudah lama diajar sejak dahulu lagi dan pada logo halal produk turut menggunakan tulisan jawi.
Hal ini mampu mencetuskan fenomena yang dikenali sebagai Islamofobia di negara Malaysia ini disebabkan ketakutan-ketakutan yang dimomokkan itu.
Pendatang? Sudah ramai sejarawan berkongsikan sejarah dan fakta ‘kedatangan’ kita ke tanah air ini.
Memang boleh berlaku sentimen perkauman yang agak sensitif sekiranya melihat kepada fakta dan sejarah, namun 66 tahun Malaysia sudah merdeka, wajarkah lagi dijadikan topik-topik perbahasan sehingga menyemarakkan lagi api yang sekian lama tidak lagi marak?
Tidak menggunakan bahasa Melayu? Hal ini merancakkan lagi kegusaran saya. Kita yang tinggal di Malaysia, Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan ada huraiannya.
Penting untuk rakyat Malaysia memartabatkan bahasa kebangsaan di peringkat dalam dan luar negara.
Biarkan Dewan Bahasa dan Pustaka atau pejuang bahasa hatta rakyat jelata melontarkan suara, sekurang-kurangnya bertukar juga bahasa lain ke bahasa kebangsaan kita.
Saya tidak membenci bahasa Inggeris malah menganggap bahasa tersebut sebagai bahasa antarabangsa yang mempunyai nilai ekonominya yang tersendiri.
Selain itu, semua bahasa merupakan bahasa ilmu namun jangan dilupa tanah yang dipijak walau masih bermakna lagi langit yang dijunjung tersebut.
Bendera terbalik? Pada hemat saya, kibaran bendera secara terbalik ini bukanlah dianggap tidak sengaja malah dibuat dalam keadaan minda yang masih waras.
Lebih menyedihkan lagi apabila golongan muda dan remaja yang merancakkan gaya ini.
Pemasangan bendera Malaysia secara terbalik tidak seharusnya berlaku.
Sudah hebat sangatkah perjuangan anda sehingga tidak merasa simpati walau sedikitpun dengan pejuang-pejuang terdahulu yang mati dibunuh, dipancung dan digantung untuk ‘menghidupkan’ kita hingga kini?
Persoalan yang timbul: Mengapakah isu-isu ini boleh timbul? Hal ini disebabkan oleh rakyat Malaysia yang tidak faham atau kurang faham akan erti sebenar sebagai warganegara Malaysia.
Mengapa tidak faham? Antaranya adalah disebabkan sistem pendidikan dari awal lagi diasingkan mengikut kaum walaupun kita dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.
Saya akui bahawa hendak melaksanakan sekolah satu aliran itu bukanlah semudah yang dikata, tetapi yang berkuasa, anda boleh lakukannya.
Contohi negara lain yang sudah berjaya melaksanakan sekolah satu aliran tanpa mengubah jati diri bangsa dan budaya masing-masing.
Saya orang Melayu dan saya ada rakan-rakan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum yang lain.
Kadangkala terfikir, bila timbul isu-isu sebegini, apa agaknya kaum lain akan pandang pada kaum-kaum yang lain?
Lama kelamaan, sifat hormat akan menghilang kemudian amalan bersatu-padu pasti sukar dicapai secara sepakat.
Penulisan ini bukanlah bermaksud yang saya ini memang faham benar akan menjadi rakyat Malaysia cuma ke arah menjadi warganegara yang prihatin dan peka. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia.
Anda rakyat Malaysia pun perlu berbangga dan menyokong usaha-usaha murni dalam mengangkat negara Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
Bercukuplah seperti membubul jala buruk yang dianggap merugikan pelbagai pihak yang bertungkus-lumus menyayangi Malaysia sehingga ke hembusan nafas yang terakhir.
Salam Kemerdekaan yang ke-66 buat negara tercinta, Malaysia! — Majoriti
Dr Mohamad Suhaizi Suhaimi merupakan Pensyarah Bahasa Melayu, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kampus Pagoh.
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram