NAMA ‘Kumaar Family’ dalam kalangan penonton YouTube tidak asing lagi bagi mereka yang meminati blog video (vlog) kekeluargaan, apatah lagi memaparkan kisah keluarga campuran dari dua negara.
Pemilik saluran YouTube Kumaar Family, Logesh Kumaar yang kini mempunyai 629,000 jumlah pengikut itu bukan sahaja berjaya menarik perhatian penonton dengan usahanya mengajar isterinya yang warganegara Amerika Syarikat (AS) mengenai budaya Malaysia, malah keletah keluarga itu sendiri sarat warna-warni.
Anak jati Klang, berusia 36 tahun tersebut pastinya memberi contoh positif sebagai rakyat Malaysia apabila sentiasa komited memartabatkan budaya tanah air ke luar negara biarpun sudah hampir 11 tahun berhijrah ke AS.
Mendirikan rumah tangga bersama Rachel pada Jun 2014, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Zaden, 5, dan Kyren berusia enam tahun.
Keletah keluarga Kumaar di platform media sosial terus menjadi perhatian apabila kandungan dipaparkan bukan sahaja kehidupan mereka di San Fransisco semata-mata, malah turut menghiburkan hati pengikut bagaimana Logesh mengajar Rachel bertutur dalam Bahasa Melayu.
Berkongsi rasa cintanya pada negara, Logesh memberitahu, walaupun menetap jauh di negara asing, Malaysia tetap berada dalam hatinya.
“Sejak berkahwin dengan Rachel saya memperkenalkan budaya negara kita kepadanya termasuklah makanan tempatan. Sebelum melancarkan saluran YouTube pada 2020, kenalan sering berkata bahawa kehidupan kami agak unik dan menarik untuk diceritakan.
“Apabila pandemik Covid-19 melanda dunia, saya terdetik membuat kandungan menunjukkan kehidupan harian kami tambahan pula ketika itu bekerja dari rumah. Jadi kami mempunyai sedikit masa lalu memanfaatkannya dengan membuat vlog,” katanya pada Majoriti.
Berkerja dalam bidang pemasaran, Logesh tidak ketinggalan meraikan Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun.
“Menggantungkan Jalur Gemilang sambil menikmati juadah Malaysia adalah rutin sambutan kami setiap tahun.
“Namun, setelah beberapa tahun berkenalan dengan komuniti Malaysia dan Asia Tenggara di San Fransisco, kami akan mengadakan jamuan bagi meraikan Hari Kebangsaan sama ada di restoran Malaysia ataupun di rumah,” jelasnya yang mengakui meraikan semua sambutan baik perayaan nasional Malaysia mahupun Amerika.
Logesh berkata, walaupun menetap jauh di negara asing, Malaysia tetap berada dalam hatinya.
Memasang impian untuk kembali dan menetap di tanah air tercinta, Logesh memberitahu, dia yakin Malaysia akan terus melakar sejarah di dunia, sekali gus terus berkembang dari segi ekonomi, teknologi dan perniagaan.
“Saya sendiri menyaksikan perubahan yang progresif sejak berpindah 11 tahun dahulu hingga hari ini yang mana Malaysia mempunyai pelbagai penambahbaikan meliputi pelbagai aspek.
“Jelas di sini, makna Merdeka untuk saya adalah ‘kebebasan'. Bebas untuk maju ke hadapan, bebas berharmoni dan bebas menentukan kehidupan diingini,” tuturnya yang sentiasa mendidik anak-anaknya dengan mengimbangi dua budaya antara Malaysia dan AS.
Berkongsi mengenai keistimewaan Malaysia yang tiada di luar negara, makanan menjadi jawapan utama pempengaruh media sosial tersebut.
“Semestinya makanan Malaysia. Walaupun saya boleh masak sendiri di San Francisco, rasanya tidak sama bergantung kepada bahan-bahan dan cara masakan.
"Selain itu, saya akui bahawa sifat penyatuan berbilang kaum yang erat di sini (Malaysia) mungkin tidak berapa kuat di negara lain,” jelasnya menutup bicara.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram