TINDAKAN seorang penunggang motosikal memotong kenderaan secara berbahaya di sebuah jalan raya membawa padah selepas dia terlibat dalam sebuah kemalangan baru-baru ini.
Difahamkan insiden itu dirakam kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) orang awam dan dimuat naik semula di aplikasi Telegram Info Semasa pada Rabu.
Melalui video tular berdurasi 27 saat itu memaparkan penunggang motosikal tersebut cuba memotong sebuah kenderaan jenis Honda City dari kiri jalan.
Namun dia tidak bernasib baik apabila hilang kawalan selepas terlanggar lubang sebelum dia dilihat melanggar bahagian tepi kenderaan tersebut dan dia terjatuh ke tengah jalan raya.
Impak daripada perlanggaran tersebut juga menyebabkan dia hampir digilis kereta Honda City berkenaan.
Setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.
Pada masa sama, tiada kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua individu yang terlibat dalam kemalangan tersebut.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram