[VIDEO] Polis minta abang Gen 2 'claim' ramai kenalan di Balai Polis Klang tampil bantu siasatan kemalangan


  • Tular
  • Ahad, 27 Ogos 2023

Tangkap layar video memaparkan kejadian dua individu lelaki sedang bergaduh di sebuah jalan raya baru-baru ini.

TULAR satu video memaparkan dua individu lelaki sedang bergaduh di sebuah jalan raya baru-baru ini.

Difahamkan kejadian itu berlaku di Jalan Pelabuhan Barat, Klang, Selangor pada 23 Ogos lalu dan video berkenaan mula tular sejak Sabtu.

Melalui video berdurasi 43 saat itu, kelihatan kedua-dua individu berkenaan berperang mulut selepas terlibat dalam satu kemalangan.

Lebih mengejutkan lagi, salah seorang daripada individu berkenaan membuat kenyataan kononnya dia mengenali beberapa pegawai di Balai Polis Klang.

"Saya ada banyak kawan di Balai Polis Klang, banyak kawan saya di sana," jeritnya kepada si perakam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, pihaknya pada Sabtu menerima maklumat kejadian itu menerusi satu video di laman Twitter memaparkan pergaduhan antara dua lelaki tempatan.

"Maklumat awal mendapati kemalangan itu melibatkan Proton Saga dan Proton Gen 2 itu berlaku kira-kira pukul 2.20 petang.

“Kejadian berlaku ketika kedua-dua pemandu dalam perjalanan dari arah Pulau Indah menuju ke Klang.

"Setibanya di lokasi kejadian yang sesak, pemandu Saga berusia 38 tahun yang bergerak lurus dilanggar sebuah Gen 2 dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah Hoong Fong, kemalangan itu mengakibatkan dua lelaki itu tidak berpuas hati dan bertengkar di lokasi kejadian.

“Pemandu Saga berkenaan meminta ganti rugi kerosakan keretanya. Pada masa sama, dia turut merakam video pertengkaran mulut tersebut. Satu laporan polis dibuat pemandu Saga pada hari kejadian.

“Polis sudah menghantar notis Panggilan Saksi di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah kepada pemilik Gen 2 supaya hadir bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59 dan saksi kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohamad Amirrul Roseli di talian 017-946 9798 atau balai polis berdekatan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram