SEHARI selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi penjelasan berhubung dakwaan data orang ramai didaftarkan secara automatik dalam Skim Insurans Am Selangor (INSAN), laman web itu kini tidak lagi dapat diakses.
Tinjauan Majoriti setakat pukul 5.30 petang Khamis mendapati, laman web syarikat insurans untuk tujuan program kebajikan itu sudah ditutup dan hanya memaparkan ayat 'This Account has been suspended'.
Bukan itu sahaja, laman web tersebut rata-rata menjadi bualan warga warga maya ketika ini.
Seorang pengguna warga maya, Zdy memuat naik status dan tangkap layar laman web tersebut.
"Aik, hilang sudah? Laman web program INSAN, untuk check insurans Selangor tu, tidak boleh diakses. 'This Account has been suspended'," katanya.
Seorang lagi pengguna, Muhamad Harris Nasril turut memuat naik tangkap layar yang sama.
"Kita beroleh kemenangan ke ni? Laman web program INSAN, untuk check insurans Selangor tu, tidak boleh diakses. 'This Account has been suspended' pula," katanya.
Sementara itu, INSAN Selangor di Facebook memaklumkan, laman sesawang rasmi INSAN tidak dapat diakses pada ketika ini disebabkan kadar trafik yang tinggi.
"Pihak kami sedang menangani isu teknikal ini, Mohon maaf atas kesulitan," katanya pada Khamis.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari
Terdahulu, timbul kerisauan orang awam di Selangor selepas data mereka termasuk nama dan kad pengenalan didaftarkan secara automatik dalam INSAN tanpa sebarang pengetahuan dan kebenaran pemiliknya.
Majoriti melaporkan seorang pengguna Facebook, Fais Al-Hajar, penjelasan diberikan itu tidak boleh diterima.
Ini kerana dakwanya, kenyataan yang memaklumkan bahawa skim itu melaksanakan proses prapendaftaran tidak sepatutnya dibenarkan berlaku.
"Pertamanya, ini sebuah produk kewangan. Mana boleh main daftarkan tanpa consent (persetujuan) penama polisi! Tak tau akta ke? Benda macam ini ada terma dan syarat yang dia kena perhalusi, ada senarai beneficiary (penerima manfaat) yang dia kena isi, banyak lagi.
"Mana boleh daftarkan 'bagi pihak' sesuka hati? Yang keduanya, kalau ini ialah 'prapendaftaran', sepatutnya kat polisi tu tertulis 'pradaftar' atau 'pending activation', bukannya tulis 'polisi diaktifkan'!
"Bila pradaftar, sepatutnya penama polisi itu akan mengesahkan dan mengaktifkan polisi tersebut sekiranya beliau bersetuju dengan terma dan syarat polisi tersebut. Kemudian barulah boleh ditulis sebagai 'polisi diaktifkan'. Selagi orang tu tak bersetuju, mana boleh!" ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Amirudin pada Rabu berkata, pendaftaran nama dan kad pengenalan rakyat Selangor dalam INSAN secara automatik hanya sebagai prapendaftaran bagi polisi perlindungan tersebut.
Butir diri pendaftaran berkaitan skim INSAN yang didakwa palsu. — Facebook/ Fais Al-Hajari
Beliau berkata, polisi tersebut akan aktif sepenuhnya sekiranya memenuhi beberapa kriteria dengan menyerahkan swafoto bersama kad pengenalan masing-masing.
Menurut beliau, perkara tersebut telah dibentangkan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebelum iaitu Datuk Teng Chang Kim dengan kerajaan negeri berhubung dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tambah Amirudin, SPR memaklumkan apa yang ada dalam daftar pemilih itu boleh digunakan dengan kerajaan negeri sebelum ini mengambil data berkaitan mengikut umur tertentu.
Untuk makluman, Skim INSAN merupakan jaringan keselamatan sosial yang bertujuan memberi pampasan sebanyak RM10,000 kepada setiap rakyat dan pengundi Selangor, sekiranya berlaku kematian, kemalangan atau penyakit mengikut jenis.
Skim INSAN ini dikatakan bakal melindungi enam juta individu merupakan bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib rakyatnya.
Program ini akan memberi manfaat kepada setiap rakyat dan pengundi Selangor yang berumur 30 hari sehingga 80 tahun. M40, B40, orang Melayu, orang Cina, orang India, lelaki atau wanita, semuanya layak untuk bantuan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram