[VIDEO] Tengkorak, rangka manusia dalam longkang di Jalan Kebun disahkan mangsa lelaki 30-an — Polis


  • 112
  • Selasa, 29 Ogos 2023

Satu mayat ditemui di dalam longkang yang terletak di hadapan sebuah sekolah dekat Jalan Kebun, Shah Alam pada Ahad.

POLIS mengesahkan satu penemuan mayat di dalam longkang yang terletak di hadapan sebuah sekolah dekat Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hong Foong berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam lebih kurang pukul 8.15 malam Ahad.

"Melalui maklumat awal yang diterima, individu tersebut menjumpai satu rangka manusia di dalam longkang tepi Jalan Kebun, Klang.

"Bertindak atas maklumat tersebut sepasukan pegawai dan anggota polis Klang ke lokasi kejadian dengan dibantu oleh pasukan forensik dari ibu pejabat polis kontinjen Selangor dan juga unit K9 PDRM," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau lagi, hasil siasatan awal mendapati terdapat satu tengkorak kepala manusia dan satu bahagian badan dipercayai pinggang ke bawah dalam keadaan tidak sempurna tersangkut pada paip yang berada dalam longkang.

"Kesemua bahagian yang dijumpai dihantar ke jabatan forensik Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat punca kematian tidak dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat tidak sempurna.

"Bagaimanapun pihak forensik mengesahkan rangka tersebut adalah seorang lelaki, berumur 30-an dan bangsa tidak dapat dikenal pasti," katanya.

Beliau turut menasihati orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian yang berlaku atau mempunyai ahli keluarga yang hilang boleh menyalurkan maklumat tersebut kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Majoriti melaporkan satu mayat ditemui di dalam longkang yang terletak di hadapan sebuah sekolah dekat Jalan Kebun pada Ahad.

Video mengenai penemuan tersebut mula tular dan dikongsikan orang awam sejak awal pagi Isnin.

Menurut makluman awal dikongsikan di media sosial, mayat berkenaan ditemui dalam keadaan sudah reput.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram