MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Selasa memaklumkan tentang guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di sekolah antara golongan pengajar yang ramai memilih untuk bersara awal sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, ia diikuti dengan guru mata pelajaran Matematik, Pendidikan Islam, Sains dan Sejarah.
Pendedahan tersebut dilihat mengejutkan untuk segelintir masyarakat, namun mungkin sebaliknya memandangkan bidang tersebut agak mencabar terutamanya semasa negara dilanda pandemik Covid-19 dalam tempoh tersebut.
Pengumuman Ahli Parlimen Nibong Tebal itu turut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang memberikan pendapat masing-masing berkenaan isu tersebut.
Bagi Muhamad Mat, persaraan awal oleh guru-guru dilihat sebagai peluang untuk guru muda memasuki bidang tersebut yang dilihat agak kompetitif sejak kebelakangan ini.
"Tolong jangan sekat permohonan mereka, luluskan saja agar anak-anak yang layak dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan. Kasihan mereka dah lama menganggur," katanya.
Fadhlina mendedahkan guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris antara paling ramai memohon untuk bersara awal sejak dua tahun lalu. — Bernama
Turut senada dengan Muhamad Mat ialah Jenry Saiparudin yang mendakwa guru-guru yang bersara awal mungkin tidak berbuat demikian atas faktor tekanan kerja, namun lebih kepada isu kewangan serta kestabilan hidup.
"Bersara awal ini bukan faktor tekanan kerja atau faktor apa-apa melibatkan kerja tetapi ia faktor kewangan yang kukuh dan kehidupan yang sudah stabil.
"Perkara ini (bersara awal) baik sebenarnya untuk laluan kepada bakal-bakal guru dan graduan pendidikan untuk mengisi kekosongan," katanya.
Selain itu, Shahrul Un mencadangkan agar guru-guru bersara pada usia 50 atau 55 tahun supaya kualiti pengajaran dalam kelas dapat dijaga.
"Bagi pendapat saya, sebaiknya cikgu sepatutnya bersara umur 50 atau 55, bila dah lebih dari umur itu, dah tak ada tumpuan untuk mengajar.
"Lagi satu, banyak lagi anak-anak muda lepasan pendidikan yang boleh mengajar. Baru ada kualiti untuk mengajar," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram