
SEORANG lelaki berusia 50-an bertindak membahayakan diri dengan meracau dan berteriak dari atas sebuah papan tanda berketinggian 12 meter di Tasik Puncak Bestari, Kuala Selangor, Selangor selepas isterinya dikatakan meminta untuk bercerai.
Dalam kejadian pada Isnin itu, lelaki berkenaan turut cuba mengugut untuk terjun daripada papan tanda berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan insiden itu pada pukul 8.35 pagi.
"Sebaik pasukan tiba di lokasi kejadian, mangsa juga mengugut untuk terjun ke bawah," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Mukhlis, sepanjang berad di ayas papan tanda itu, mangsa juga meracau dan berteriak kepada anggota bomba.
Katanya, mangsa bagaimanapun dapat ditenangkan selepas dipujuk oleh isteri dan rakan-rakannya kira-kira selama dua jam.
"Lelaki itu kemudian berjaya dibawa turun anggota bomba pada pukul 10.35 pagi," ujar Ahmad Mukhlis.
Difahamkan, pasangan terbabit berdepan krisis rumah tangga dan lelaki berkenaan dikatakan lemah semangat selepas isterinya memohon untuk bercerai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram