BELUM reda isu berzikir dengan cara agak luar biasa di Makam Tok Kenali dekat Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini, tular satu lagi video memaparkan tindakan sekumpulan individu yang sedang berzikir sambil dilihat seakan-akan menari di atas sebuah tanah perkuburan pada waktu malam.
Malah, insiden dipercayai ditularkan semula itu juga didakwa berlaku di negeri Pantai Timur terbabit.
Menerusi klip berdurasi 26 saat, sekumpulan lelaki dilihat sedang berdiri dan berzikir di atas sebuah tanah perkuburan sambil menghenjut-henjutkan badan ke depan dan belakang.
"Katanya di Kelantan. Ada sesiapa boleh sahkan?," soal sebuah akaun di platform X (Twitter), PisauKarat yang berkongsikan video terbabit menerusi ciapan pada Sabtu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet tampil mempersoalkan perbuatan tersebut yang disifatkan agak luar biasa berbanding amalan biasa penganut Islam di Malaysia.
Malah, ramai juga percaya video tersebut diambil bukan di Malaysia sebaliknya di negara jiran Indonesia, berdasarkan kepada binaan kuburan dan cara berpakaian kumpulan terbabit.
"Indonesia ni, batu nisan dia lain,"ujar frankrzII.
"Delete je la bang (ciapan). Pakaian dan bentuk kubur pun dah lain. Jangan la fitnah," tulis thirahmohdyusak.
"Kalau tengok dalam video ni, tanah perkuburan ni bukan dekat Malaysia. Macam dekat Indonesia. Kubur dekat Malaysia kita tak buat macam tu," tulis fdyfkr.
"Tengok kepok, belindan (binaan kubur) dan cara pemakaian tu rasa bukan kat Kelantan," kata nfasak.
Dalam pada itu, carian dilakukan Majoriti mendapati video berkenaan pernah tular di sosial media pada Mei lalu, namun tiada maklumat dinyatakan mengenai lokasinya.
Pada masa sama, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan mana-mana pihak berkuasa agama negeri di Malaysia berhubung insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram