Tular pelajar perempuan pegang senapang 'airsoft', pengurus sekolah pondok mohon maaf


  • Benua
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Gambar tular memaparkan pelajar perempuan di sekolah terbabit yang sedang memegang senapan airsoft sambil berpakaian uniform sekolah. — Instagram/islah_bahrawi

PENGGUNA sosial media di Indonesia pada Sabtu lalu dikejutkan dengan foto tular memaparkan enam orang pelajar perempuan di Sekolah Pondok Baitul Qur’an Al Jahra di Magetan, Jawa Timur sedang memegang senapang angin atau airsoft gun.

Menerusi beberapa keping gambar yang tersebar itu, ia menunjukkan pelajar berkenaan sedang berpakaian beberapa jenis uniform termasuk baju sekolah dan turut mengenakan kelengkapan dilihat seperti baju kalis peluru.

Susulan daripada itu, pengurus sekolah terbabit, Sugianto mengesahkan bahawa gambar tersebut adalah melibatkan pelajar daripada pusat pendidikan tersebut.

Katanya, pihak sekolah memperkenalkan aktiviti kokurikulum menembak dengan menggunakan senjata tersebut kepada pelajar baharu pada tahun ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa aktiviti berkenaan mencetuskan kebimbangan kepada orang ramai dan meminta maaf atas perkara tersebut.

"Kami sepatutnya meminta kebenaran daripada pihak berkuasa dahulu untuk memperkenalkan aktiviti itu di sekolah,” ujarnya.

Sugianto memaklumkan, aktiviti itu dijalankan selepas mereka tawaran daripada syarikat PT Airsoft Pelajar Indonesia untuk menggunakan senjata tiruan itu sebagai aktiviti menembak di sekolah.

Namun, dengan perkembangan terkini itu, pengurusan sekolah mengambil keputusan untuk menghentikan aktiviti tersebut dan mengadakan perbincangan dengan polis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram