Tiga pemandu selamat, 2 kereta rentung dalam kemalangan berasingan di Klang


  • 112
  • Ahad, 27 Ogos 2023

Kenderaan MPV yang rentung dalam kemalangan di Jalan Perdana Indah, Klang pada Ahad. — Bomba

TIGA pemandu yang terbabit dalam dua kemalangan berasingan di Klang, Selangor pada awal pagi Ahad terselamat meskipun dua daripada kenderaan terlibat rentung.

Kejadian pertama di Lebuhraya Pulau Indah, Taman Teluk Gedung Indah, melibatkan seorang pemandu yang kenderaannya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada pukul 2.10 pagi.

"Seramai lima anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Fire Post bergegas ke lokasi kejadian.

"Kita mendapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang terbabas melanggar sebatang pokok," katanya dalam satu kenyataan.

WhatsApp Image 2023-08-27 at 9.01.13 AM

Bomba cuba memadam kebakaran yang berlaku terhadap kenderaan terlibat kemalangan di Lebuhraya Pulau Indah, Taman Teluk Gedung Indah, Klang pada Ahad. — Bomba

Menurut Ahmad Mukhlis, mangsa bagaimanapun sempat bertindak menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

"Kita berjaya mengawal kebakaran pada pukul 2.30 pagi dengan api dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian. Kemusnahan dianggarkan 95 peratus," ujarnya.

Sementara itu, satu lagi kejadian, membabitkan dua buah kenderaan antara kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan sebuah kereta jenis Audi di Jalan Perdana Indah, Klang.

Impak insiden itu menyebabkan kenderaan MPV tersebut terbalik dan sebelum terbakar.

Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada pukul 2.43 pagi.

"Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari BBP Kota Raja ke lokasi kejadian," katanya yang memaklumkan kenderaan MPV itu dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun.

Menurutnya, dalam kejadian berkenaan, MPV dipandu lelaki berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang kereta Audi terbabit yang berada di laluan sama.

"Kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 3.10 pagi, manakala kereta Audi yang tidak terbakar dibawa ke balai polis sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

"Kedua-dua pemandu itu tidak mengalami kecederaan, anggaran kemusnahan kenderaan yang terbakar dianggarkan 90 peratus," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram