[VIDEO] Treler bawa muatan penuh terlibat kemalangan dengan 6 kenderaan di Rawang


  • Tular
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Kemalangan itu berlaku di laluan Selayang ke Rawang berdekatan Taman Amansiara, Rawang, Selangor pada Rabu. — Facebook

SATU kemalangan melibatkan sebuah lori treler membawa muatan berat bersama enam kenderaan lain dilaporkan berlaku di laluan Selayang ke Rawang berdekatan Taman Amansiara, Rawang, Selangor pada Rabu.

Insiden tersebut tular menerusi beberapa gambar dan video dikongsikan orang awam yang melalui jalan tersebut.

Menerusi klip tersebut, lori treler terbabit dilihat melintang di tengah jalan sehingga mengakibatkan laluan berkenaan tertutup sepenuhnya daripada dilalui kenderaan lain.

Dalam pada itu, kenderaan lain yang turut terbabit adalah tiga kereta, sebuah van dan lori komersial serta termasuk satu motosikal.

Status keadaan pemandu dan penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan.

Insiden tersebut juga menyebabkan kesesakan di kedua-dua arah dengan jalan menuju ke arah Rawang tertutup sepenuhnya untuk dilalui kenderaan lain.

Sementara itu, difahamkan trafik menghala ke Selayang, Selangor juga sesak sehingga berhampiran susur keluar ke Hospital Selayang.

Setakat laporan ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan dariapda pihak berkuasa berkenaan kemalangan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram