[VIDEO] Pemandu lori belok mengejut, penunggang motosikal tak sempat elak cedera parah


  • Tular
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Tangkap layar orang awam dilihat cuba membantu seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori dekat Machang Bubok, Bukit Mertajam pada Rabu.

SEORANG penunggang motosikal dilaporkan cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori dekat Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Rabu.

Video kemalangan tersebut sempat dirakamkan televisyen litar tertutup (CCTV) salah sebuah premis berdekatan lokasi kejadian dan dimuat naik semula di aplikasi Telegram pada Khamis.

"Kemalangan melibatkan penunggang motosikal dan lori dekat Machang Bubok, Bukit Mertajam. Maklumat awal, penunggang motosikal cedera parah," tulis kenyataan video terbabit.

Melalui video berdurasi sembilan saat berkenaan, kemalangan itu dilihat berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang secara tiba-tiba membelok ke arah kanan untuk masuk ke sebuah simpang.

Mangsa yang berada di lorong bertentangan tidak dapat mengelak dan terus melanggar lori tersebut.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan warga maya, impak perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa terpelanting sebelum tersungkur ke jalan raya.

Beberapa gambar dan video mangsa yang tidak diketahui identitinya itu sedang mengerang kesakitan turut tular di media sosial.

Setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan keadaan sebenar mangsa dan belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram