SATU kemalangan berlaku membabitkan sebuah kereta yang dilihat merempuh satu premis dipercayai bilik gerakan pilihan raya Barisan Nasional (BN).
Video mengenai kejadian tersebut yang tidak dapat dipastikan lokasinya itu tular sejak Rabu.
Berdasarkan klip berdurasi 24 saat tersebut, sebuah kereta berwarna putih didapati sudah berada dalam keadaan remuk selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan di hadapan premis yang turut dihiasi dengan bendera BN itu dan terletak di tepi jalan utama.
Turut kelihatan dalam video tersebut adalah anggota polis dan sebuah ambulans yang dipercayai tampil untuk memberikan bantuan kepada mangsa.
Bagaimanapun, klip berkenaan tidak memaparkan kelibat mahupun status kecederaan mangsa yang terbabit dalam insiden berkenaan.
Sekumpulan penduduk dilihat juga berada tepi jalan berdekatan premis tersebut untuk melihat kejadian terbabit.
Pada masa sama, video terbabit juga tidak memaklumkan mengenai waktu dan tarikh insiden terbabit berlaku.
Punca kemalangan tersebut juga tidak dapat dipastikan.
Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kini sedang berlangsung selama dua minggu bermula 29 Julai lalu sehingga hari mengundi pada Sabtu ini.
Pilihan raya kali ini membabitkan enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram