[VIDEO] Padah potong konvoi, pemandu Rolls Royce rempuh lori tangki tengah buat 'U-turn'


  • Benua
  • Ahad, 27 Ogos 2023

Keadaan Rolls Royce selepas bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Lebuhraya Delhi-Mumbai-Baroda, India baru-baru ini.

KENDERAAN mewah, Rolls Royce yang dilaporkan bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Lebuhraya Delhi-Mumbai-Baroda, India baru-baru ini adalah sebahagian daripada konvoi yang melibatkan 14 kereta.

Menurut polis di daerah berkenaan, Superintenden Narendra Bijarniya, kemalangan yang berlaku di Haryana pada 22 Ogos lalu telah meragut nyawa dua individu yang berada di dalam lori tangki tersebut. Seorang lagi penumpang dalam lori tersebut dilaporkan cederaa.

Manakala pemandu Rolls Royce dan dua penumpang di dalamnya pula dilaporkan mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital di Gurgaon.

Narendra berkata, prima facie menyatakan kesalahan adalah terletak kepada pemandu Rolls Royce berkenaan.

"Kemalangan itu berlaku ketika konvoi 14 kenderaan bergerak bersama di lebuh raya. Tiba-tiba, Rolls Royce memecut laju, memotong kenderaan di hadapannya dan akhirnya merempuh lori tangki yang sedang membuat pusingan U.

"Kemalangan itu berkemungkinan berlaku disebabkan kesilapan pemandu Rolls Royce, siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan," ujarnya.

Tambahnya lagi, pemilik syarikat tembakau Kuber Group, Kuber Vijay Malu merupakan antara salah seorang daripada tiga penumpang Rolls Royce yang cedera dalam kemalangan terbabit dan kini sedang dirawat di Hospital Gurugram.

Jelas Narendra, pihak berkuasa telah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang meliputi seluruh lebuh raya itu untuk membantu mengenal pasti kesemua 14 kenderaan yang terlibat dalam konvoi tersebut.

"Notis sedang dikeluarkan kepada pemilik kenderaan, itu sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan," katanya.

Dalam masa sama, seorang pegawai rondaan laluan memberitahu media tempatan bahawa kenderaan mewah itu dipandu pada kelajuan 200 kilometer sejam (km/j), sedangkan had laju yang dibenarkan di lebuh raya ialah 120 km/j sahaja. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram