[VIDEO] Nahas 7 kenderaan: Wanita maut terperosok bawah treler di Kota Kinabalu


  • 112
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Tangkap layar video memaparkan kemalangan di Jalan Lintas, Kota Kinabalu, Sabah yang berlaku sekitar pukul 6 petang Selasa.

SEORANG wanita maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah lori treler dari arah belakang dalam satu kemalangan yang turut membabitkan tujuh kenderaan lain di Jalan Lintas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, mangsa berusia 26 itu tahun disahkan maut di lokasi selepas tersepit dalam kenderaannya yang terperosok di bawah lori terbabit.

"Menurut maklumat kemalangan melibatkan tujuh kenderaan iaitu jenis Perodua Bezza, Perodua Myvi, Toyota Vios, Proton Saga, Proton Iriz dan dua lori.

"Terdapat seorang mangsa wanita tersepit dalam kenderaan Perodua Bezza dan pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Ordine berkata, mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, seramai 14 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kemalangan yang berlaku sekitar pukul 6 petang itu.

Dalam pada itu, media melaporkan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat dengan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, menerusi video tular mengenai insiden berkenaan, trafik di lokasi dilihat sesak dan berjalan dengan agak perlahan ketika kemalangan berlaku.

Klip berdurasi 16 saat terbabit dirakam daripada kamera papan pemuka kereta yang berada di tempat kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram