Salah ambil data SPR, MCCA persoal mekanisme pelaksanaan Skim INSAN


  • Massa
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Polis Selangor sudah menerima lapan laporan berkaitan dakwaan penggunaan data peribadi pengguna rakyat Selangor tanpa kebenaran bagi pendaftaran skim INSAN. — Gambar hiasan

DATA maklumat peribadi diperoleh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sepatutnya dibenar untuk digunakan pihak ketiga bagi tujuan komersial.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, tindakan tersebut dilihat tidak mematuhi Seksyen 43 Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 iaitu berkenaan hak untuk menghalang pemprosesan bagi maksud pemasaran langsung.

"Sepatutnya kalau ada elemen komersial tidak boleh, sebab data itu bukan untuk dikomersialkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penjelasan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengenai dakwaan kebocoran data yang berlaku semasa pelaksanaan polisi Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN).

"Data SPR itu untuk (kegunaan) pihak kerajaan atau (Government to Government) dan ada ruang lingkup (penggunaannya).

"Tapi kalau ada nilai komersial, (tindakan) menggunakan data itu salah. Contohnya kalau ada pihak ketiga (syarikat) tawarkan perkhidmatan dan kerajaan negeri bayar dia untuk dia uruskan data SPR. Tindakan itu sepatutnya tidak boleh dilakukan," jelas Siraj ketika dihubungi Majoriti.

WhatsApp Image 2023-08-24 at 6.47.59 PM

Presiden MCCA, Siraj Jalil. — Bernama

Pada Rabu, Amirudin dalam satu sidang media menafikan wujudnya kebocoran dan salah guna data rakyat negeri itu ketika pelaksanaan polisi INSAN.

Ia selepas terdapat pihak mendakwa berlakunya kebocoran data peribadi apabila salah seorang daripada ahli keluarganya didaftarkan sebagai penerima skim INSAN walaupun sudah meninggal dunia.

Amirudin berkata, data berkenaan ialah data awam yang boleh dibeli.

"Apa yang berlaku, skim ini melaksanakan proses prapendaftaran dengan kita berhubungan dengan SPR supaya agensi itu boleh mengemukakan data.

"Data itu merupakan data awam yang boleh dibeli dan kita mendaftarkan mereka sebagai prapendaftaran," ujar Amirudin.

Untuk rekod, skim INSAN merupakan satu program dilaksanakan di bawah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dengan anak syarikatnya, Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd (Wavpay) bertindak selaku operator perkhidmatan polisi berkenaan.

SHAH ALAM, 23 Ogos -- Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengadakan sidang akhbar khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. — Bernama

Dalam pada pada itu, Siraj berkata, MCCA tidak mempunyai sebarang masalah dengan kepentingan program polisi insurans terhadap rakyat negeri Selangor, sebaliknya hanya mempersoalkan mekanisme digunakan untuk pelaksanaannya.

"Maknanya kalau kenyataan dia ada third party (pihak ketiga) yang menguruskan tadi, third party itu yang kita kena soal. Dia dapat data daripada mana? Kalau dia cakap dapat daripada SPR, SPR tidak ada maklum apa pun (minta persetujuan pemilik data).

"Adakah dia dapat kelulusan daripada SPR untuk guna pakai data itu bagi daftarkan pengundi di Selangor dalam skim insurans itu?" soal beliau.

Siraj berkata, kerajaan negeri Selangor bertanggungjawab untuk tampil memberikan penjelasan berkenaan persoalan yang timbul itu.

"Kalau dijawab dengan betul dan kemas berfakta, ok kita boleh faham. Tapi kalau dia gagal untuk fahamkan benda itu, mungkin ada sesuatu yang tidak kena," ujar Siraj.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada Rabu memaklumkan pihaknya menerima lapan laporan berkaitan dakwaan penggunaan data peribadi pengguna rakyat Selangor tanpa kebenaran bagi pendaftaran skim INSAN.

Katanya, laporan berkenaan diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain (ROA) dengan ia dirujuk Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) untuk siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram